RAKYAT Sabah tahu, yang menjadi masalah utama bagi PSS, bukan lah pada 136,055 pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung, akan tetapi generasi mereka, yang bakal berlipat ganda besar jumlahnya. Kerana jumlahnya yang berlipat kali ganda, maka ianya dapat mempengaruhi perubahan demografi Sabah.
Kini, Malaysia berhadapan dengan fakta nyata, bahawa semasa pengistiharan kemerdekaan, atas prinsip jus soli, maka sesiapa sahaja yang penduduk import selepas hari kemerdekaan, hendaklah diberi kerakyataan. Kini mereka itu, bukan sahaja menjadi tulang belakang kerajaan, malah hampir menjadi tuan kepada penduduk asal.
Di Sabah juga sudah berlaku, sebagai impak pemberian kad pengenalan biru kepada "rakyat baharu ini" pada tahun 90-an bagi maksud politik untuk mengubah persempadanan pilihanraya.
Pada umumnya rakyat Sabah tidak mahu lagi terperangkap "peristiwa" tahun 90-an, atas sebab itu membantah sekeras-kerasnya pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kerana rakyat tahu akan impak kepada tindakan tersebut.
Berkaitan dengan PSS, kaedah yang sama akan berlaku, bahawa generasi pemegang PSS ini yang bakal mencorakkan demografi Sabah.
Rakyat asal Sabah benar-benar mengambil iktibar apabila berlakunya serangan Kg Tanduo, Lahad Datu pada Mac, 2013, apabila didapati "sebahagian rakyat baharu" malah ada di antara mereka menjadi anggota keselamatan menjadi tali barut, sehinggakan beberapa anggota keselamatan negara menjadi korban.
Peristiwa Kg Tanduo, membuktikan bahawa kesetiaan rakyat baharu ini bukan kepada negara akan tetapi kepada negara asal mereka.
Memberikan mereka Pas tinggal di Sabah.. dan di baharui setiap tiga tahun akan memberikan kesan politik kepada Sabah.
Ibubapa mereka tidak penting tetapi generasi mereka, bagaimana?. Mereka akan membesar di Sabah, mereka ingat akan tanah leluhur mereka.
Jika pada awal kemerdekaan, Tun Mustapaha diberikan gelaran Bapa Kemerdekaan Sabah, kemudian Ketua Menteri ke-14 Sabah (Tan Sri Musa Aman) diberikan gelaran Bapa Pembangunan Moden Sabah, manakala Ketua Menteri ke-15 Sabah pula diberi gelaran Bapa Pas Sementara Sabah.
Di antara tiga Ketua Menteri Sabah itu, dua ketua menteri benar-benar untuk pembangunan dan kemajuan negeri dan rakyatnya, manakala yang ke-3 pula, demi tujuan kuasa politik, maka mahu mengubah demografi Sabah, demi kuasa berkekalan di masa akan datang.
Malang bagi rakyat Sabah, jika PSS akan diteruskan, di masa akan datang, rakyat asal Sabah menanggis dengan air mata darah sekalipun, tidak lagi dapat lagi berbuat apa-apa, kerana kuasa demokrasi sangat bergantung pada "numbers". Anak cucu cicit rakyat Sabah bakal bertuankan "rakyat baharu" baik dalam arena politik mahupun sektor-sektor pemerintahan.
Pada hari ini di Membakut, tindakan lebih 5000 penduduk Kimanis mengadakan himpunan soladiriti aman membantah PSS, dicemari, apabila pihak polis "menangkap" seorang penduduk kampung, kononnya membawa parang, sedangkan di Sabah khususnya di kampung-kampung membawa parang adalah perkara biasa, kerana apabila ke kebun atau sawah atau memancing, biasanya penduduk membawa parang.