KUAT tidaknya sesebuah parti sangat bergantung kepada jumlah keahlian, kerana keahlian itu sendiri menjadi jentera kepada parti dalam pilihanraya.
Atas pengertian itu, maka jelajah Bersatu Sabah berterusan, sebagai tindakan penerangan serta penjelasan juga sebagai kaedah menarik keahlian.
Penyertaan keahlian ke dalam parti itu dipermudah, kerana para pemimpin yang menerajuinya mempunyai penyokong sendiri, atas sebab itu, walaupun hanya dilancarkan pada 6 April lalu, kini, jumlah keahlian sudah di atas 100 ribu, dan dianggarkan menjelang ulang tahun pertama, jumlah keahlian akan mencecah 150 ribu.
Bersatu merupakan sebahagian Kerajaan Persekutuan, akan tetapi hanya mesra kerajaan Warisan Sabah, meskipun dua rakan parti itu, DAP dan PKR adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri.
Kekuatan Bersatu, akan dilihat pada PRK Kimanis, kerana kepimpinan parti itu sudah menyatakan akan memastikan kemenangan calon kerajaan.
Sebenarnya, asas sokongan rakyat Sabah terhadap parti itu pada PRU-14 sudah dirasakan menerusi kolaborasi Warisan dan PH, meskipun belum melebarkan sayapnya secara rasmi ke Sabah.
Oleh kerana senario politik baru selepas PRU-14, sebenarnya fakta PRU-14 tidak adil digunakan sebagai ukuran.
Pasca PRU-14, sebenarnya adalah babak baharu dalam politik Sabah. Babak baharu itu telah bermula pada PRK Sandakan yang mana pengundi Sabah secara umumnya berpihak kepada kerajaan, dan diperkirakan akan berterusan pada PRK Kimanis.
Masa depan Bersatu Sabah bukan terletak pada sebarang PRK, walaupun ianya menunjukkan indikasi sokongan, tetapi sangat bergantung kepada berkesannya gerakan di peringkat akar umbi yang digerakan oleh ahli yang progresif dan berkualiti.