Tun Dr Mahathir dan Datuk Hajiji |
APA yang berlaku sehingga kini, Tun Dr Mahathir menghormati Parti Warisan Sabah dengan memberi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Persekutuan yang beliau ketuai, walaupun Warisan bukan komponen Pakatan Harapan.
Kalau dikira tanpa Warisanpun, PH dapat membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah apabila menang 113 kerusi, dan dicampur 3 MP bebas yang mesra PH. Maka berjumlah 116 daripada 222. Jumlah majoriti mudah yang diperlukan hanya 112.
Di Sabah pula, kolaborasi antara Warisan dan dua komponen PH PKR dan DAP hanya menang 29 kerusi DUN, kurang 2 kerusi bagi majoriti mudah. Walaupun demikian, kerajaan yang diterjaui Warisan dapat juga ditubuhkan kerana ekhsan ADUN lompat daripada UPKO dan Umno.
Jika Datuk Shafie melantik ADUN DAP dan PKR dalam kabinet beliau, ianya tidak dapat dielak, kerana tanpa ADUN daripada 2 parti tersebut, Shafie tidak cukup kerusi. Berbeza, apabila Tun Dr Mahathir membentuk kabinet, tidak perlupun melantik MP Warisan, atas sebab, tanpa Warisanpun, PH dapat menubuhkan Kerajaan selepas PRU-14.
Fakta sekarang, Tun Dr Mahathir pengayum kepada parti-parti yang sehaluan semasa menentang Barisan Nasional pada PRU-14,manakala Shafie, belum termasuk dalam pemimpin yang bersifat pengayum, akan tetapi masih berkategori mementingkan diri sendiri.
Shafie pura-pura tidak sedar, bahawa Parti Tun Dr Mahathir- Bersatu telah memberi ruang kepada Warisan menyertai kabinet, tetapi tidak berlaku pada kerajaan yang dipimpin Shafie.
Parti Dr Mahathir-Bersatu di peringkat negeri, hanya dijadikan penyokong di DUN, tanpa memberikan apa-apa peranan, malah kerap sekali tidak melibatkan mereka ini pada sebarang majlis-majlis rasmi kerajaan, kecuali satu-dua wakil rakyat daripada parti itu.
Dalam fikiran Shafie, setelah acara lompat katak selesai, dan perlantikan ADUN dilantik, maka beliau sudah cukup selesa dengan sokongan, maka “tidak” lagi memerlukan sokongan para ADUN Bersatu.
Penulis suka membangkitkan lagi hubungan antara Parti USNO dan Parti Berjaya antara tahun 1976-1985, yang mana dua-duanya adalah komponen BN di peringkat Persekutuan, akan tetapi berlawanan di peringkat negeri. Apa yang berlaku pada masa itu, pada pilihanraya, diperimgkat DUN berlaku “free contest” manakala di peringkat Parlimen, berlaku pembahagian kawasan untuk ditandingi antara dua parti itu, malah di kawasan masing-masing, ada calon bebas tajaan parti masing-masing, meskipun tiada yang menang, kecuali satu kerusi, iaitu Parlimen Kota Belud, apabila Datuk Yahya Lampong (bebas) tajaan parti Berjaya menang.
Melihat keadaan semasa di peringkat Negeri Sabah, nampaknya senario politik era Parti Berjaya sedang berulang..
Malah kerajaan Parti Warisan bertindak lebih berani, kerana tidak menyertai PH, seperti mana Berjaya menyertai BN sebagai kerajaan Pusat pada waktu itu. Shafie ingin menunjukkan, bahawa kuasa beliau setanding dengan Tun Dr Mahathir, kerana tidak "tunduk".
Hakikat memang tidak dapat dielak, bahawa tujuan kemasukkan Bersatu ke Sabah pada 6 April lalu, pada asalnya untuk memperkuat kerajaan Sabah yang diterajui Parti Warisan dan disokong 2 komponen PH.
Melihat kepada sokongan itu, maka sepatutnya akan berlaku situasi menang-menang, atas sebab, mereka yang menyokong itu adalah juga wakil rakyat yang memerlukan kedudukan atau kuasa untuk rakyat yang diwakili. Memandangkan mereka itu, hanya dijadikan "penyokong" maka, kelihatan "tiada" perbezaan dengan wakil rakyat pembangkang. Mungkin keadaan ini menjadi perbincangan antara Ketua Bersatu Sabah dan Perdana Menteri dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen semalam (3 Decimber,2019).