LATAR BELAKANG politik Sabah membuktikan bahawa halatuju rakyat selepas sesebuah parti atau kerajaan baharu mengambil alih, maka akan menyokong parti atau kerajaan itu sekurang-kurangnya 2 penggal, kecuali semasa BN mengambil alih pada tahun 1994, kerana impak kepada penggiliran Ketua Menteri Sabah, selain tiada isu mendesak yang di bawa parti pembangkang masa itu. Sebagai tambahan pada masa itu, keupayaan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan negeri, pembangunan yang rancak khususnya setelah Datuk Musa Aman (kini Tan Sri) dilantik ke jawatan Ketua Menteri pada Mac 2003.
Akan tetapi, walaupun latar belakang politik Sabah demikian, senario politik semasa berlainan, persepsi rakyat berlainan, kerana maklumat yang rakyat perolehi berkaitan pencapaian dan kebolehan kerajaan mudah diperolehi, kerana aliran maklumat tiada batas, akibat adanya media alternatif.
Kerajaan Sabah yang diterajui Warisan dan disokong Pakatan Harapan dan UPKO, sejak mengambil alih kerajaan berdepan dengan berbagai isu yang mencurigakan rakyat Sabah secara umum, khususnya tindakan mesra atau pro Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selain isu-isu tanah yang melibatkan rakyat baharu.
Tidak pernah berlaku pada kerajaan-kerajaan lalu, berlakunya berpuluh kebakaran di kawasan setinggan warga asing, dan selepas kabakaran itu, agensi kerajaan khususnya Jabatan Pendaftaran sibuk membantu mangsa kebakaran. Apa yang peliknya, setiap kejadian kebakaran, hanya dokumen-dokumen pengenalan diri yang turut terbakar.
Juga pada PRK Kimanis, isu pembinaan Empangan Papar akan menjadi isu kepada pengundi, kerana setidaknya pengundi Parlimen Papar yang bersebelahan dengan Kimanis akan saling kait mengait.
Apa yang pasti, suka atau tidak, pada PRK Kimanis,isu yang hangat adalah isu pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada PATI. Setiap rakyat asal negeri ini, sudah pasti tidak akan mudah menerima keputusan kerajaan menghalalkan PATI, kerana rakyat Sabah secara umumnya sudah merasakan bagaimana impaknya kehadiran PATI, bukan sahaja menyumbang kepada isu moral, jenayah khususnya pengedaran dadah, pembunuhan,termasuk rompakan.
Hakikat perlu diterima semua pihak, bahawa politik Sabah masih bersandar kepada isu-isu setempat, khususnya calon-calon yang bakal bertanding nanti.
Pada PRK kali ini, secara umumnya, apa yang dilihat ke arah mana pengundi bumiputera, apa kah memilih parti tempatan? atau kah parti nasional. Walaupun nanti, Parti warisan yang bertanding, dan disokong PH, akan tetapi rakyat Sabah masih menganggap, ianya parti tempatan.
Terlalu awal untuk meramal keputusan PRK ini, kerana faktor-faktor isu semasa yang melanda Sabah.