JELAS, pada PRK Sandakan, jika Vivian Wong menang, maka PTI Sabah bukan isu bagi pengundi di kawasan tersebut. Dengan kata lain, pengundi parlimen itu menerima dan bersetuju tindakan Kerajaan Warisan memberikan dokumen termasuk memberi kawasan penempatan kepada mereka.
Kalau ditilik betul-betul, isu PTI Sabah bukan lagi isu utama, seperti mana ditunjukkan oleh pengundi Sabah pada PRU-14.
Pada PRU-14, adalah jelas, pemimpin-pemimpin yang menjadi calon pada PRU itu, yang menentang kehadiran PTI Sabah, meskipun ada yang menang, akan tetapi menang dengan majoriti yang sangat kecil sekali.
Tidak dinafikan Parti Warisan Sabah berpandukan kepada kecenderungan pengundi Sabah pada PRU-14, sebab itu kerajaan yang diterajui parti itu tidak mahu mensia-siakan sentimen tersebut.
Datuk Shafie Apdal dan para pemimpin parti yang berkolaborasi dengan beliau, tidak mahu kehilangan sokongan pengundi yang menyebabkan mereka menang 29 kerusi Dun dan 15 kawasan parlimen pada PRU-14.
Kelemahan dalam politik, apabila para pemimpin parti tertentu, hanya memikirkan kuasa jangka pendek, bukannya memikirkan masa depan rakyat dan Sabah.
Masalah PTI bukan isu sekarang, akan tetapi bermula pada tahun 70-an lagi. Memandangkan pada awal memuncaknya PTI ke Sabah "sedikitnya"'political will" maka masalah PTI Sabah menjadi kronik. Apabila isu PTI menjadi kronik, maka memaksa kerajaan dahulu menubuhkan RCI PTI Sabah. Apabila kerajaan lalu bertindak sesuai dengan dapatan RCI itu, MEMBURU, MENANGKAP, MENGHANTAR PULANG dan seterusnya diiringi dengan TIADA HARI TANPA OPERASI (THTO), telah diambil peluang oleh Parti Warisan Sabah menjelang PRU-14. Ekoran kepada itu, maka kawasan-kawasan yang dipercahayai kawasan koloni PTI, telah menyebabkan calon-calon kerajaan lalu kalah teruk, malah beberapa DUN yang dimenangi pada PRU-13 dengan majoriti yang sangat besar, pada PRU-14, majoriti kemenangan hanya cukup-cukup untuk menang.