TIADA ungkapan yang lebih sesuai selain BUANG YANG KERUH AMBIL YANG JERNIH, berkaitan tewasnya RUU pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mencari siapa salah, siapa yang menggagalkan, atau siapa yang paling betul TIDAK lagi relevan, kerana perkara lalu sudahpun berlalu.
Keadaan di Dewan Rakyat pada 9 April, 2019 tepat 10.25 malam atau 22.25hours, wakil rakyat menyokong 138, berkecuali 59, tidak mengambil bahagian 8 dan tidak hadir 16. Menerusi bilangan yang menyokong, kurang 10 undi, maka dengan sendirinya RUU Pindaan 2019 itu, tidak perlu dibaca kali ke-3, ertinya ditolak atau ditewaskan.
Apa yang perlu sekarang adalah bergerak ke depan. Jangan matikan mengembalikan MA63, kerana jika ianya telah berakhir, maka akan digali kemudian hari, bahawa pembentangan RUU itu bersifat perangkap dan tiada keikhlasan.
Kepada pihak menyediakan deraf pindaan itu, penulis mengerti, ianya dilaksanakan dengan penuh kesadaran, sesuai dengan kemampuan pengetahuan dan ilmu manusia, namun apapun perancangan manusia, Tuhan jua yang menentukan.
Perancangan manusia berkaitan RUU itu, walaupun seramai 46 wakil rakyat membahasnya, malah MP Beluran semasa bangun menyokong RUU itu yang membawa mesej ORI Sabahan, pun demikian, RUU itu tidak berjaya mendapat undi 148, undi 2/3 seperti mana diperlukan.
Apa yang boleh dipelajari atau menjadi tauladan kepada mana-mana kerajaan jika tidak mempunyai kuasa 2/3 dan memerlukan sokongan daripada pembangkang, perkara pokok yang perlu diambil, adalah situasi MENANG-MENANG. lenyapkan perasaan ego atau sewaktu dengannya, dan perlu bergerak bersama ke arah satu tujuan.
Kepada Menteri Undang-Undang Persekutuan, Datuk Liew Vui Keong, perhalusi lagi apa yang telah berlaku, ambil lah kegagalan pertama itu sebagai langkah pertama untuk berjaya.