Tahun 1990, apabila Umno menyebarkan sayap ke Sabah, maka harapan yang diberikan pada masa itu, bumiputera Sabah yang menjadi ahli dan penyokong Usno dan meraka yang bukan ahli dan penyokong mana-mana parti berpindah daripada perahu kecil ke perahu besar. Maka bersatu lah mereka itu di bawah Umno.
Kerana peniaga politik melihat fenomena itu, maka mereka bertindak lebih sudu daripada kuah, sehinggakan sebahagian besar penyokong asal diketepikan.
Terbukti, selepas PRU-14, para peniaga politik itu, menjahanamkan Umno sehinggakan kehilangan kerajaan.
Apa yang boleh dibuat oleh mereka yang kehilangan kuasa? Bertahan sebagai pembangkang, tidak akan ke mana-mana. Politik memerlukan dana, bukan hanya bermodalkan air liur.
Pemimpin politik mempunyai pengikut, mempunyai kawasan untuk dimajukan, mempunyai rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan mereka. Berbeza dengan peniaga politik, yang hanya bermatlamat laba. Mereka bagaikan semut dan gula.
Dalam politik, mereka yang benar-benar pejuang, berakhir dengan kepapaan, berakhir dengan kemelarataan, manakala peniaga politik, berteduh dalam mahligai. Pejuang bukanlah bodoh, akan tetapi tiada perasaan tega, tidak sanggup menghalalkan cara, itu lah yang membezakan mereka dengan peniaga politik.
Nampaknya, berasaskan senario politik semasa, apa kah bumiputera akan tetap seperti kucing bermain dengan ekornya? kerana politik Sabah mendokong keadaan itu sejak merdeka.