Terlalu awal untuk membuat penilaian, apa kah Umno Sabah berkocak, atas sebab seorang pemimpin kanan membuat keputusan meninggalkan parti.
Datuk Shafie Apdal selain mantan Naib Presiden juga Ketua Bahagian Umno Semporna lebih 20 tahun.
Kedudukan Shafie berbeza dengan Datuk Lajim Ukin, mantan pemimpin Umno yang keluar daripada parti tahun 2012, atas sebab, Shafie terlibat sebagai salah seorang penaja Umno Sabah.
Benarlah istilah dalam politik. Tiada kawan selamanya, demikian juga tiada lawan selamanya.
Perjalanan politik Shafie, sebenarnya sungguh mulus. Beliaulah seorang pemimpin Sabah yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden yang mendapat sokongan 100 peratus daripada kepimpinan Sabah selain sokongan pemimpin Semenanjung untuk menduduki Naib Presiden parti.
Selepas PRU-13, tiada tanda-tanda, bahawa Shafie akan menyongsang arus, sehinggalah beliau terperangkap permainan politik mengejar kedudukan yang dirancang mantan Perdana Menteri- Tun Dr Mahathir Mohammad.
Sebenarnya, dalam skrip permainan politik mengejar kedudukan yang dipelopri Tun Mahathir, bukan sahaja Tan Sri Muhiyiddin dan Shafie yang dilibatkan, akan tetapi ramai lagi, namun pemimpin yang berani ke depan adalah Muhiyiddin dan Shafie, manakala Mukhriz tersempit di persimpangan, dan akhirnya memilih untuk menyebelahi bapanya.
Dalam permaian politik, boleh sahaja seseorang mengambil pendekatan mengambil jalan tengah, berpihak atau menentang. Dalam senario politik dalam parti Umno masa kini berlaku ketiga-tiganya. Adalah lumrah, jika penentangan yang ditempoh, maka akibatnya seperti mana berlaku pada Tan Sri Muhiyiddin Yassin, Dato Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Dalam Umno, pemimpin yang teramai adalah mereka yang mengambil jalan tengah, manakala yang ke dua adalah kelompok yang berpihak, manakala yang menentang, nampak di luaran tersangat sedikit.
Kalau menilik pemimpin yang berpihak, maka terlihat bagaimana mereka kerap mengeluarkan kenyataan membela kepimpinan, dalam semua perkara, termasuk isu-isu besar, seperti 1MDB dan wang derma RM2.6bilion. Manakala mereka yang mengambil jalan tengah, lebih gemar mengunci mulut, bersetuju apa sahaja, asalkan sesuai dengan amalan parti, sesuai dengan amalan berorganisasi dan sesuai dengan kerja berpasukan.
Umum mengetahui, bahawa pemimpin Umno yang termasuk sebagai penentang, apabila mempergunakan dua isu yang dibangkitkan pembangkang bagi menghentam Perdana Menteri, iaitu isu 1MDB dan wang derma RM2.6bilion. Mereka yang menentang bukan mengalamatkan penentangan mereka kepada parti, akan tetapi kepada Presiden sebagai individu.
Malang sungguh bagi yang menentang, kerana tersilap pilih isu, sehingga majoriti ahli dan pemimpin parti menerima, bahawa suara penentang merupakan sebahagian daripada suara pembangkang, kerana berkongsi isu yang dibangkitkan pembangkang.
Pendekatan para penentang, berjaya ditanamkan kepada para pemimpin dan majoriti ahli sebagai tindakan menghancurkan parti, bukannya memperkuat parti. Majoriti menerima, bahawa serangan kepada Presiden sebagai individu, atas sebab, menghancurkan sesebuah organisasi, maka perlu menghancurkan ketua, kerana mengambil iktibar pada ikan membusuk bermula daripada kepala.
Oleh kerana majoriti termasuk pemimpin menerima, bahawa serangan kepada Presiden sebagai individu, sebenarnya bertujuan untuk mengambil kuasa bagi memenuhi keinginan peribadi. Atas sebab itu, ramai penulis termasuk blogger pro Presiden/Perdana Menteri menulis tanpa berselindung, bahawa tujuan menurunkan Presiden bagi melancarkan atau mempermudah atau merentes laluan kepada Mukhriz mengambil alih tampuk kuasa.
Jika ditilik benar-benar, pemimpin parti yang menentang Presiden, hanya mempergunakan dua isu, 1MDB dan wang derma RM2.6bilion. Tiada isu lain selain daripada isu itu. Mereka yang menentang itu, sebenarnya sebahagian daripada kepimpinan negara, kerana merupakan anggota kabinet. Amalan kabinet selama ini, setiap keputusan yang dibuat kabinet, merupakan keputusan bersama, ertinya tidak timbul lagi keraguan atau suara-suara menentang selepas keputusan dibuat. Setiap anggota kabinet mempunyai ruang yang luas, samada bertanya, mempersoal, berhujah sebelum sesuatu keputusan dibuat. Namun, apa yang ditempuh, oleh penentang, adalah mempersoalkan keputusan yang telah dipersetujui. Atas sebab itu, mereka terpaksa digugurkan daripada kabinet, kerana mereka memilih tindakan mereka itu, iaitu tidak lagi bersetuju dengan keputusan bersama (collective responsibility).
Dalam mana-mana pasukan, jika terdapat pemain yang tidak mengikuti peraturan atau strategi, maka wajar digugurkan, kerana kehadiran mereka bukan sahaja boleh menyebabkan pasukan kecundang dalam pertarungan, juga menyebabkan pasukan kalah dengan mudah kerana terdapatnya pemain yang ‘selingkuh”.
Kini, telah jelas, empat mantan pemimpin Umno sudah berada di luar parti, dan mereka telah bersedia menentang parti. Mereka sudah menjadi lawan yang nyata. Mereka sudah mempunyai tujuan nyata mahu mengalahkan parti asal mereka dalam pilihanraya. Terserah mereka, bagai mana berdepan dengan parti asal mereka. Pada PRU-14 akan datang, kita akan saksikan, bahawa mereka itu mewakili parti mereka sendiri.
Di Sabah, entah apa isu yang bakal mereka bawa? isu pembangunan? isu pengagihan jawatan? isu pembahagian peluang? sukar mereka jual kepada pengundi, kerana pemimpin Bn yang ada yang diketuai Datuk Seri Musa Aman, yang dibantu pemimpin kanan parti seperti Datuk Seri Salleh Tun Said, Datuk Tawifiq Abu Bakar Titingan, Dato Abdul Rahman Dahalan, Datuk Hajiji Haji Nor, Datuk Masidi Manjun, manakala di pihak komponen Bn ada Tan Sri Pairin Kitingan dan ramai lagi, telah memenuhi obiligasi mereka kepada rakyat Sabah.
Seperti mana pengelaman pada PRU-13 lalu, pembangkang, bukan bercakap soal-soal pembangunan, namun lebih menjurus kepada sentimen agama dan perkauman. Atas faktor itu, pembangkang mampu mempengaruhi rakyat mengundi mereka, dan menang 12 kawasan Dun daripada 60 dan 3 kawasan Parlimen daripada 25.
Dengan mengambil iktibar kepada kemampuan menang 12 kerusi pada PRU-13 dengan mempergunakan isu agama dan perkauman, maka adalah diramalkan, mereka akan terus mempergunakan pendekatan itu mulai daripada sekarang sehingga PRU-14. Selain itu, mereka mempergunakan sentimen perbezaan status, apabila mereka “menghighlight” acara-acara keramaian seperti sambutan hariraya, dengan menekankan adanya perbezaan status antara kenamaan dan rakyat biasa yang hadir pada satu-satu perayaan.
Pada 27 Jun lalu, semasa Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada parti, beliau telah memberi isyarat, bahawa pihak mereka akan terus mempergunakan isu perkauman, apabila mengarahkan serangan kepada Ketua Menteri Sabah sebagai individu. Para penggiat media sosial yang pro Shafie dan pembangkang, sudah memainkan isu kesukuan ketua Menteri, soal dinasti dan soal kekayaan.
Saban hari, mereka yang pro pembangkang, mengitar semula isu-isu lama yang berkaitan Ketua Menteri, seperti wang RM40 juta, isu pembalakan, isu pengagihan projek dan isu-isu peribadi lain yang tidak disokong fakta.
Melihat kepada gelagat Shafie, kemungkinan besar beliau menumpukan permainan politiknya di Sabah, bagi menumbangkan kerajaan Sabah yang diterjaui parti Umno. Shafie akan bekerjasama dengan kumpulan pembangkang dengan mengambil pendekatan mempergunakan isu agama dan kesukuan.
Bn sabah, perlu bertindak pro-aktif bagi menepis permainan pembangkang itu, secara “punch to punch” mulai daripada sekarang, agar supaya, dakyah mereka itu tidak melekat pada hati rakyat, kerana jika terlambat, dikhuatirkan akan dapat mempengaruhi keputusan PRU-14, sepertimana berlaku pada PRU-13, yang mana pemimpin Bn Sabah lambat memberi reaksi kepada isu-isu yang di bawa pembangkang.