NAMPAK gayanya, rasuah sudah jadi perbuatan yang dinormalkan, kerana pemimpin yang terlibat jenayah itu, bukan sahaja disokong malah diberi kedudukan dalam kerajaan, jika tidakpun, disanjung dan dijadikan idola.
Kecenderungan ini lah yang diwariskan pada generasi penerus, perbuatan rasuah bukan lagi keji akan tetapi harus diterima sebagai budaya baharu.
Perubahan norma baharu ini, menjadi semakin diterima kerana mereka yang bersih dan kelihatan bersih menyokong golongan ini, termasuk menjadikan mereka ini ketua.
Penulis tidak habis fikir, pemimpin yang berada dalam golongan bersih dan kelihatan bersih yang lebih besar jumlahnya tidak mampu berbuat apa-apa, sebaliknya seperti kerbau dicucuk hidung, angguk apa sahaja tingkah laku pemimpin yang tergolong “tinted”.
Semasa Tan Sri Muhiyiddin Yassin Perdana Menteri, telah membuka ruang seluas-luasnya bagi mereka yang tergolong bersih dan kelihatan bersih menjauhkan diri daripada mereka yang “tinted” ini, malangnya, semacam mereka ini tiada kemampuan melepaskan diri.
Sejak memaksa Tan Sri Muhiyiddn meletakkan jawatan, golongan bersih dan kelihatan bersih, semacam mewarnakan imej mereka serupa dengan warna mereka yang tergolong “tinted”, yang membawa pengertian, bahawa tindakan golongan “tinted” ini diperakui dan dipersetujui.
Malah mereka ini terikut-ikut dengan rentak golongan ‘tinted’ termasuk mempersendakan badan kehakiman negara. Sementara yang berkuasa pula terpaksa berlembut, kalaupun tidak akur segera, tetapi menunjukkan sikap setuju.
Atas sebab kecenderungan tanda akur, maka mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohammad memberi komen berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, jika mantan Perdana Menteri itu diampun segera, maka Malaysia menjadi bahan ketawa masyarakat dunia.
Menjelang PRU-15, isu-isu rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin tertentu termasuk daripada Umno, dikatakan sudah menjadi isu basi dan lapok. Pemimpin yang berkata demikian, tidak lain tidak bukan adalah Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.
Menerusi pendirian tersebut, membawa erti, apa yang telah berlaku, biar lah berlaku, gone by gone, dan bukanpun isu besar yang perlu diratapi atau ditangisi atau dikutuk, melainkan perlu diterima sebagai resam, dan mungkin atas sebab itu, rata-rata pemimpin yang sealiran mengunci mulut berkaitan jenayah rasuah, berbeza dengan pendekatan kepimpinan Perikatan Nasional yang sentiasa mengulang-ulang berkaitan kepemimpinan berintegriti, bermaruah dan memerangi rasuah sehingga dinoktahkan. Kepemimpinan Perikatan Nasional yang diketuai Tan Sri Muhiyiddin Yassin, bukan sahaja berlandaskan pada kepemimpinan bersih, akan tetapi amanah dan bertanggungjawab, dan mahu kembali pada pemerintahan BERSIH, CEKAP DAN AMANAH untuk MALAYSIA SEJAHTERA.