WALAUPUN ramai melihat bahawa Umno dan BN telah bangkit, dan seterusnya bakal menerajui pemerintahan negara, akan tetapi tindakan di saat-saat akhir parti-parti yang juga berhasrat menjadi peneraju pemerintahan negara, boleh membantutkan kebangkitan tersebut.
Senario politik tanah tersangat jelas, yang menyerupai warna hitam dan putih, jika status quo seperti mana berlaku pada PRN Melaka dan Johor masih berulang.
Menjadikan status quo tersebut menjadi tanda tanya, maka parti-parti lain perlu bertindak diluar kotak, dan memastikan tindakan tersebut menjadi alternatif pada pengundi.
Semua pemimpin perlu sedar, bahawa pengundi atau rakyat negara ini cukup jelas perbezaan antara Umno/BN dengan parti-parti lain.
Bertitik tolak daripada sentimen tersebut, maka terserah pada masing-masing parti mengambil peluang untuk diterjemahkan dalam bentuk sokongan.
Untuk Umno/BN berlegar-legar pada beberapa pemimpin, terutama daripada Umno yang terkait dengan kluster mahkamah, yang mana isu itu, tidak lagi menjadi faktor penolak seperti mana dibuktikan menerusi kemenangan parti itu pada PRN Melaka dan Johor.
Manakala isu yang telah bertukar menjadi masalah yang menyelubungi parti-parti lain seperti PH dan PN, adalah soal kepercayaan antara satu sama lain, yang meliputi juga penyokong masing-masing, impak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.
Dua senario yang berbeza ini lah yang bakal mewarnai PRU-15. Parti mana yang mampu menanganinya, maka parti itu lah yang bakal mendapat mandat rakyat.
Membaca mood pengundi, memang majoriti, menolak Umno/BN, yang ditandai dengan peratusan tinggi, akan tetapi parti itu boleh menang kerana faktor sistem First Past The Post (FPTP).
Di antara semua parti hanya Umno/BN mampu memanfaatkan FPTP, jika berlaku pertembungan lebih tiga penjuru.
Di atas kertas, jika satu lawan satu, maka pengundi yang menolak Umno/BN dengan sendirinya memangkah parti yang melawan, sesuai dengan mood pengundi. Tetapi dalam dunia nyata, ianya tidak demikian.
Berasaskan kecenderungan politik negara masa kini, mana-mana pemimpin atau parti politik yang ingin kekal relevan, perlu menyesuaikan diri masing-masing. Fikir-Fikirkan.