SAMBUTAN hari raya Aidilfitri kali ini berbeza dibandingkan dengan sambutan pada tahun 2020 dan 2021.
Dua tahun lalu sambutan dalam suasana abnormal kerana semua kita berhari raya dalam keadaan negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dengan SOP ketat.
Sambutan hari raya semasa pandemik Covid-19 sedang mengganas, kita semua hanya dibenarkan bergerak 10 kilometer radius, tidak dibenarkan menziarahi dan merentas daerah/negeri menyambung tradisi berhari raya di kampung halaman.
Dalam tempoh dua kali sambutan hari raya, rasa pilu menyelubungi rata-rata antara kita, mengenang tidak dapat bersama ibu bapa di pagi raya, menghulur tangan tanda kemaafan, tiada aktiviti membakar lemang, memasak rendang dan mengacau dodol.
Tetapi tahun ini kita kembali kepada tradisi menyambut 1 Syawal. Jalan raya mula sesak dan perjalanan mengambil masa berkali ganda berbanding biasa.
Dalam kita bergembira menyambut Syawal dan menikmati pelbagai juadah istimewa di hari raya, sentiasa lah beringat dengan kuantiti pengambilan makanan.
Perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa mrnghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.
Setiap sajian yang diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelak timbulnya masalah lain.
Bukanlah berniat menghalang pesakit mahpun golongan yang sihat untuk menikmati pelbagai juadah yang dihidangkan sempena Aidilfitri tetapi anda perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut.
Makan berlebihan di hari raya, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar pula untuk kembali kepada berat asal akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
Apa yang mustahak, selepas raya, jangan pula berat badan kita naik mendadak... pun demikian, jangan lupa, ada sebahagian daripada kita, suasana hari raya, seperti juga hari-hari lain, khususnya mereka yang kurang bernasib baik. Mereka ini, hanya mampu “menikmati” juadah hari raya yang terpampang di media-media sosial yang dikongsikan oleh mereka yang memangpun tergolong bernasib baik.
Rupanya, suasana abnormal, adalah suasana yang menghampiri keadaan mereka yang tidak bernasib baik. Di antara kita merasakan suasana itu dua tahun hari lebaran, demikianlah suasana yang dihadapi mereka yang termasuk golongan susah setiap kali datangnya 1 Syawal. Bagi golongan ini, tiada isu memerikasa berat badan lepas raya.