DALAM spin masa sedekad daripada sekarang, kebarangkalian peningkatan pendapatan per kapita rakyat Sabah akan kembali pada kedudukan seperti tahun 70-an kedua tertinggi dalam negara kerana dua sebab- siapnya lebuhraya Pan Borneo, dan Impak Ibu Negara baru Indonesia-Nusantara.
Dua sebab itu, boleh membolehkan perekonomian Sabah menjadi rancak. Lebuhraya membolehkan pergerakan barangan dengan mudah dan cepat, antara satu lokasi ke lokasi lain- kerana pergerakkan barangan menerusi darat, maka, setidak-tidaknya menjadi jawapan pada kekangan eksport keluaran negeri akibat dasar cabotaj negara. ; manakala Nusantara menyebabkan permintaan produk atau keluaran negeri meningkat.
Kerajaan GRS-BN Sabah, sudah mengantisipasi ledakan perekonomian, impak perpindahan ibu negara yang mempunyai penduduk teramai di Asia Tenggara.
Sudah menjadi lumrah, mana-mana negara atau wilayah berdekatan dengan ibu negara sesebuah negara, maka wilayah itu akan turut membangun dan maju.
Cadangan Kerajaan Sabah membina CIQS di persempadanan antara Kalimantan dan Sabah, sebagai pintu keluar masuk, adalah tindakan tepat dan tidak boleh ditangguhkan.
Lebih 50 tahun, perekonomian Sabah kurang menyerlah, kerana terpisah jauh dengan pengguna, selain halangan semulajadi pergerakan barangan. Dalam dekad masa itu, perekonomian negeri sangat bergantung pada hasil semulajadi seperti minyak dan gas, perkayuan, dan kemudiannya menerusi hasil perladangan. Dalam spin masa yang sama juga, industri kecil dan sederhana (IKS) tidak dapat bergerak pantas, kerana terhalang oleh sistem pengangkutan, walaupun adanya permintaan. Jarak yang jauh menerusi lautan pula, maka menghalang keluaran IKS negeri sampai ke pengguna, jika pun sampai, harga menjadi mahal, dan menghalang untuk bersaing dengan keluaran IKS-IKS lain di tanah besar Semenanjung.
Dengan berpindahnya ibu kota Indonesia, yang mana penduduknya juga mempunyai cita rasa yang hampir sama, maka, keluaran IKS, terutama barangan pengguna, dijangka berkembang bukan sahaja pesat akan tetapi laju.
Bagi menyambut ledakan permintaan barangan seumpama itu, kerajaan perlu menubuhkan sebuah GLC pengkhususan produk pengguna. GLC ini juga boleh menjadi tempat mengumpul barangan pengguna keluaran IKS tempatan untuk menjamin volume yang mencukupi untuk tujuan eksport dengan jumlah yang besar. Syarikat terkait kerajaan seperti Qazanah, boleh menjadi pemudah cara.
Asas kepada penubuhan syarikat berkait kerajaan tersebut, adalah barangan pengguna pakai buang termasuk juga makanan, merupakan barangan yang pantas berkembang. Selain itu juga syarikat seumpama ini mempunyai bertujuan serampang dua mata, selain mendorong pengembangan IKS tempatan, juga dapat meningkatkan kutipan hasil kerajaan. Fikir-Fikirkan.