SATU Malaysia kecoh, hanya kerana laporan media sosial yang berkaitan murid-murid sekolah menyeberang sungai di sebuah kampung di Nabawan, Sabah, mengunakan “zipline”, “flying fox” dan rakit, kerana jambatan gantung di sungai tersebut dihanyutkan banjir besar yang melanda daerah itu baru-baru ini.
Impak laporan tersebut, Timbalan Menteri Kerjaraya Persekutuan- Datuk Arthur Kurup, seperti dilaporkan, telah mendapat dana membina jambatan kekal daripada Persekutuan yang diluluskan sertamerta oleh Perdana Menteri, manakala ADUN Nabawan pula- Datuk Abdul Ghani Yassin, dipetik sebagai berkata, peruntukan membina jambatan gantung telahpun diluluskan, hanya menunggu dokumentasi waran daripada pihak Pengurusan Kewangan Jabatan Ketua Menteri, manakala Ketua Menteri- Datuk Seri Hajiji Haji Noor pula, jika bot diperkehendaki penduduk kampung tersebut, kelulusan segera dibuat, dan mengarahkan Pegawai Daerah Nabawan berhubung dengan Bahagian Pengurusan Kewangan Jabatan Ketua Menteri untuk mendapatkan waran membeli bot.
Sebenarnya, laporan media berkaitan kesulitan murid sekolah termasuk guru-guru di kampung tersebut, iaitu Kg Nangkawangan telah tular sejak sebelum sekolah dibuka untuk sesi persekolahan tahun 2022, dan tindak balas daripada ahli parlimen dan ADUN telahpun dilakukan, akan tetapi, proses yang agak lambat daripada pihak mengeluarkan dokumentasi peruntukan, yang kurang peka terhadap keadaan mendesak.
Pihak kerajaan khususnya Ketua Menteri dan ADUN yang berkaitan telah bertindak dengan pantas, seperti juga untuk kawasan-kawasan lain, akan tetapi, karenah birokrasi yang berlaku di pihak penyedia dokumentasi memperlambat proses. “Kesibukan” pegawai yang diberi amanah, termasuk bercuti panjang, memperlambat lagi pengeluran waran.
Mungkin mereka yang pernah berurusan dengan yang mengeluarkan waran, akan tahu bagaimana tindakan “para pegawai” yang bersifat “bossy” selain tidak mesra alam. Apabila laporan seperti dikampung Nagkawangan viral di media sosial termasuk rakaman video yang melibatkan murid sekolah, yang cukup berbahaya, maka setidaknya telah memalitkan imej negatif pada kerajaan secara umum dan wakil rakyat di kawasan tersebut khususnya.
Sudah tibanya pihak Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, perlu meletakkan para pegawai yang kritikal pada keperluan rakyat, di bahagian kritikal, bukannya mereka yang tidak tahu membezakan mana segera mana tidak. Fikir-Fikirkan.