POLITIK SABAH itu sangat dinamik. Kerana kedinamikkan itu, maka kecenderungan politik juga cepat berubah, sehinggakan kerusi yang biasa dimenangi parti tertentu yang disebut juga kerusi tradisi, turut berubah.
Kerana kecenderungan ini, maka sesebuah parti itu perlu mengenalpasti kawasan yang ingin ditandingi sesesuai dengan senario semasa.
Bagi Sabah, penanda aras itu adalah PRN-16 Sabah pada September, 2020. Menerusi pilihan raya itu, parti-parti yang bertanding sudah tahu kekuatan masing-masing. Selain itu, gerak kerja parti di kawasan-kawasan selepas pilihan raya itu juga boleh menjadi pemangkin sokongan.
Pada PRN-16 Sabah, jika dilihat berasaskan parti, untuk 25 kawasan parlimen, ada parti boleh menang tanpa saingan, ada parti menang kerana impak sistem First Past The Post (FPTP), ada parti berkeadaan 50:50.
Kecenderungan pengundi jika berasaskan parti sahaja pada PRN-16 Sabah, GRS menang di Parlimen Kota Marudu, Tuaran, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau dan Pensiangan; Parti Warisan- Parlimen Sepanggar, Putatan dan Penampang, Semporna dan Tawau; DAP- Kota Kinabalu dan Sandakan, BN- Libaran.
Kawasan 50:50 adalah Kudat-Warisan/GRS; Batu Sapi- Warisan/BN; Lahad Datu- Warisan/GRS; Kalabakan-Warisan/BN, kawasan 33% antara parti adalah Kota Belud, Kimanis, Sipitang, Tenom, Beluran dan Kinabatangan.
Kencenderungan pengundi adalah penanda aras sebenar, dan jika ada parti cuba menyanggahnya, maka kebarangkalian, akan berlaku seperti di DUN Pitas, Lumadan, Kemabong dan Kuamut.
Pada pilihan raya Parlimen Sabah yang juga dipanggil PRU-15, terpulang pada parti-parti khususnya parti yang menganggotai Kerajaan GRS-BN Sabah, untuk menentukan kaedah menang-menang. Jika berasaskan kecenderungan pengundi Sabah pada September, 2020, parti kerajaan tersebut boleh menang 20 daripada 25 kawasan parlimen.
Penulis memerhatikan, pada PRU kali ini, baik GRS mahupun BN Sabah tidak ketandusan calon-calon, kerana ramai pemimpin peringkat akar umbi menunjukkan kesungguhan mendekati rakyat seperti mana dibukti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh pandemik Covid-19.
Sempena Bulan Ramadhan ini juga, para pemimpin yang berpotensi dicalonkan, menjelajah perkampungan (masjid/Surau) atau tempat-tempat berkumpul, beribadah dengan penduduk setempat. Gerakan seumpama ini, mempermudah mereka jika dipilih sebagai calon, dan kemungkinan menjadi ayam tambatan bagi parti masing-masing. Apa yang mustahak, jangan bercanggah dengan kecenderungan rakyat, pada PRU nanti.