PRN Melaka dan Johor dipaksa untuk diadakan oleh pemimpin Umno, dengan memberi alasan untuk mendapatkan jumlah kerusi yang banyak untuk tujuan kestabilan politik dan kerajaan.
Tujuan tersirat pilihan raya tersebut, sebenarnya untuk menyingkir parti lain sebahagian daripada kerajaan.
Kerajaan Melaka dan Johor, hasil keputusan PRU-14, diterajui Pakatan Harapan (PH), BN atau Umno adalah pembangkang. Oleh kerana berlakunya penjajaran baharu politik, selepas kerajaan PH tumbang, maka Umno menjadi peneraju pada dua negeri tersebut.
Kerana Umno melihat adanya peluang untuk menang kerusi yang banyak, maka memberi ruang pada pilihan raya, dengan menjual sebab kepada rakyat, demi kestabilan politik, demi kestabilan perjalanan pemerintahan, Umno perlu kuasa lebih secara bersendirian, tidak perlu bergantung sokongan daripada mana-mana pihak, waima daripada parti komponen.
Kini, telah menjadi buah bibir sesetengah rakyat khususnya di dua buah negeri yang dikuasai Umno bukan sahaja dengan kuasa majoriti mudah akan tetapi kuasa 2/3. Malangnya, matlamat kerajaan stabil, politik stabil, masih igauan, kerana kuasa besar yang dimiliki, menjadi alat untuk berebut kuasa sesama sendiri.
Rakyat sebagai mentimun, tidak akan mampu lagi berbuat apa-apa, kerana kuasa pada mereka hanya pada musim pilihan raya. Menerusi perebutan kuasa antara para pembesar, dalam tempoh masa itu, rakyat bagaikan rumput ditepi jalan, hidup segan mati tak mahu.
Penulis dan mungkin sesetengah rakyat negara ini, pasti, PRU-15 bakal diadakan dalam masa terdekat sebelum tamat penggal, kerana alasan, demi kestabilan politik dan kerajaan, maka mandat besar daripada rakyat perlu diberikan pada sesebuah parti. Dengan bersandarkan pada keputusan PRN Melaka dan Johor, Umno atau BN lah yang menggunakan alasan tersebut, supaya PRU ke-15 diadakan.
Percaya lah, selagi para pembesar negara saling berebut kuasa, kuasa besar, akan digunakan sebagai flatform mengukuhkan kedudukan masing-masing, sementara rakyat, akan terus menjadi mentimun dengan durian.