PENULIS melihat, keputusan PRN Melaka dan Johor, telah memperlihatkan pencapaian maksimum Barisan Nasional (BN), samada daripada segi jumlah kerusi juga pengundi yang menyokong. Sesuatu yang mencapai titik itu, tidak akan menanjak lagi. Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang masih dalam pendakian, untuk mendapatkan potensi sebenar.
Ambil contoh PRN Johor, apabila menerusi 1.4 juta pengundi yang keluar mengundi, BN mendapat lebih kurang 600 ribu undi akan tetapi menghasilkan 40 kerusi, manakala PN dengan undi lebih separuh daripada undi BN tersebut, hanya menghasilkan 3 kerusi. Baki undi lain yang diperolehi Pakatan Harapan (PH) dan PKR menghasilkan 13 kerusi.
Walaupun BN hanya disokong 600 ribu (43%) dan ditolak 800 ribu (57%), akan tetapi menang lebih 70% kerusi. Peratusan yang tidak selari ini, ada lah hasil sistem demokrasi yang digunapakai negara, iaitu sistem First Past The Post.
Apa yang tersirat pada keputusan ini? Seperti mana hujah pada awal tulisan ini, potensi BN samada daripada kaum melayu atau bukan melayu sudah mencapai puncak. Pencapaian seperti ini telah biasa BN perolehi pada PRU-PRU lalu sebelum PRU-14. Apabila berlaku “booster” seperti mana PRU-14, menerusi pengundi pasif atau atas pagar membanjiri peti-peti undi, maka potensi sebenar parti-parti yang melawan BN menyerlah, manakala BN, kekal dengan potensi sebenar.
PRN Johor yang mendapati 1 juta pengundi tidak keluar mengundi, sedangkan potensi sebenar PN ada pada pengundi-pengundi tersebut. Mengapa dikatakan demikian? Kerana pengundi yang tidak keluar mengundi adalah kumpulan umur 30-45 tahun, sedangkan mereka ini lah memberi undi bukan pada BN pada PRU-14 lalu.
Mengapa dikatakan PN mempunyai potensi? Sebabnya, pengundi yang menolak BN, sudah beralih sokongan daripada PH kepada PN terutama pengundi kaum melayu. Jika mereka yang tidak keluar mengundi pada PRN kali ini, akan keluar pada PRU-15, dan pada masa sama, PN dapat swing votes 5-10% daripada bukan melayu, BN, bukan sahaja tergugat, akan tetapi perlu menerima hakikat, bahawa keputusan PRU-14 akan berulang.
Kepada para pemimpin dan penyokong PN, jangan dulu lemah semangat, teliti betul apa yang tersirat pada keputusan PRN Melaka dan Johor. Penulis melihatnya, terdapatnya cahaya di hujung terowong bagi PN yang terang benderang.