TELAH sah, parti dominan bagi Wilayah Sarawak adalah Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS), Wilayah Semenanjung dengan Barisan Nasional (BN), dan Wilayah Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Parti-parti dominan bagi tiga wilayah ini, akan menjadi peneraju di wilayah masing-masing dalam jangka masa yang panjang.
Mengubah kedudukan parti-parti ini menerusi penjajaran politik yang baharu, boleh mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikkan.
Terwujudnya parti-parti dominan ini kerana kehendak rakyat menerusi sokongan melalui peti undi.
BN telah membuktikan, adalah parti dominan di Wilayah Semenanjung menerusi PRN Melaka dan PRN Johor. Penguasaan parti itu, bukan sahaja telah kembali pada status quo, akan tetapi akan berterusan dalam jangka masa yang lama.
Tidak dinafikan, bahawa parti-parti pembangkang di Semenanjung akan terus hidup dan menang beberapa kawasan pada pilihan raya, hanya sebagai semak dan imbang, sukar menjadi kerajaan seperti mana pada PRU-14.
Bagi parti-parti baharu seperti Pejuang dan lain-lain, hanya akan menjadi peserta memeriahkan pesta demokrasi, dan menambah senarai calon-calon hilang wang pertaruhan.
Pendekatan baharu politik berasaskan wilayah berteraskan dengan parti dominan masing-masing, akan mewarnai politik negara.