Penulis terkilan membaca, Perdana Menteri yang mengilhamkan KKM, mahukan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja menang, akan tetapi perlu menang 2/3. Erti pada kenyataan tersebut, salah satu parti yang mendokong beliau memimpin KKM, bukan sahaja perlu dikalahkan akan tetapi perlu dilenyapkan dalam peta politik tanah air.
Parti yang mendokong KKM berlawanan antara satu sama lain, iaitu BN dan PN, pun demikian, seharusnya Perdana Menteri, meskipun seorang pemimpin salah satu daripada parti yang berlawanan, wajar berkecuali, supaya slogan KKM, tidak dicemari.
Pengelibatan PM, dalam pilihan raya Johor, menunjukkan slogan KKM, hanya dibibir, bukannya bermaksud pengertian sebuah keluarga.
Dengan berpihaknya PM, maka penulis tidak pelik, beliau akan akur supaya PRU-15 dilaksanakan dalam masa terdekat, walaupun MOU dengan PH sehingga 31 Julai tahun ini. Pelaksanaan PRU tersebut, sudah tentu, kerana mengambil momentum (kemengan PRN Melaka, dan mungkin PRN Johor yang dijangka dimenangi BN).
PRU-15, dikehendaki oleh pemimpin seperti Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Najib Razak, kerana isu mahkamah yang sedang dihadapi dua pemimpin tersebut, sementara belum hilang kelayakan untuk bertanding.
Akan tercatit dalam sejarah politik negara ini, parti-parti yang dipimpin mereka yang mempunyai isu moral, masih disokong oleh rakyat. Dengan fakta sedemikian, maka akan menjadi contoh atau pedoman, bahawa perbuatan salah laku, bukan lah satu masalah, melainkan sesuatu yang boleh diterima. Apa tah lagi, jika sebelum ini perkara yang dikategorikan sebagai perbuatan memalukan, kini bertukar pada sesuatu yang dipuja dan menjadi satu kebanggaan.
Jika ada dikalangan rakyat negara ini dijatuhi hukuman yang melibatkan salah guna kuasa, termasuk rasuah, di masa hadapan, tidak perlu lagi malu, kerana perkara tersebut sudah menjadi norma baharu.
Apa pun, tindakan mereka yang tidak mahu tergolong dalam kategori itu, dalam arena demokrasi, yang teramai lah yang berkuasa. Keadaan demikian, akan berubah dan kembali pada fitrah yang diterima masyarakat sejagad, apabila rakyat mula sedar, dan bertukar yang teramai menolak parti yang tercemar dengan isu-isu moral. Apa yang pasti, nilai-nilai mulia itu akan juga bertapak akhirnya. Sama-sama kita nantikan masa itu, yang akan ditentukan oleh generasi penerus.