UMNO tumbang pada PRU-14, kerana sebahagian kecil penyokong tegar telah ikut pemimpin parti yang telah keluar atau yang telah dipecat.
Kini, mereka yang bersama parti adalah mereka yang setia pada pemimpin masing-masing, tidak kisahlah, apa kah pemimpin mereka dalam kluster mahkamah atau kumpulan klepktokrasi.
Sebab itu, menumbangkan Umno selain tumbangkan pemimpinnya, kena juga tumbangkan penyokong tegar masing-masing.
Antara pemimpin dan penyokong, hubungan telah terjalin begitu panjang, sehinggakan, menjadi seperti aur dan tebing, saling menunjang antara satu sama lain.
Seperti pada PRN Melaka, apabila peti undi dihadiri sebahagian besar penyokong tegar dan ahli, walaupun hanya 38 peratus daripada keseluruhan undi, tapi Umno menang besar.
Ada lah kelemahan parti yang membangkang Umno, kerana tidak dapat bersatu. Setiap parti disokong oleh penyokong masing-masing, dan semua mereka ini mewakili 60 peratus jumlah pengundi.
Selagi undi berpecah, maka akan terus memberi kelebihan pada Umno.
Apa pun diperkatakan oleh lawan berkaitan pemimpin Umno, terlalu sukar bagi penyokong tegar menolak pemimpin masing-masing.
Pada PRN Johor akan juga berlaku, pertembungan penyokong tegar masing-masing pemimpin. Seperti yang sedia dimaklumi, penyokong tegar pemimpin yang melawan Umno telah berpecah, mengurangkan ancaman pada calon-calon Umno.
Akan tetapi senario PRN Johor berbeza sedikit kerana kehadiran pengundi yang pertama kali mengundi dan pengundi 18. Golongan ini sebahagian besar bebas, tidak terikat dengan mana-mana parti. Undi mereka, sangat bergantung pada mood masing-masing dan isu-isu semasa.
Jika pada PRN Johor, peratusan yang mengundi tinggi, katakan di atas 75 peratus, walaupun adanya pertembungan berbagai penjuru, kebarangkalian, Umno mengulangi pencapaian seperti PRN Melaka akan terbantut, jika sebaliknya, maka parti berlambangkan keris itu sekali lagi merayakan kemenangan.