PERUBAHAN nama-nama jawatan bagi Sarawak atau mungkin Sabah, hanya membabitkan bidang kuasa wilayah itu.
DUN Sarawak telah meluluskan perubahan nama jawatan Ketua Menteri kepada premier, dan mungkin Sabah juga akan ikut sama, termasuk mengubah sebutan Tuan Yang Terutama (TYT).
Kemungkinan besar perkataan premier minister tidak diterjemahkan sebagai Perdana Menteri, tetapi sebagai Menteri Perdana atau Menteri Utama.
Perubahan panggilan pada Ketua Menteri, disesuaikan dengan dikembalikan status Sabah dan Sarawak seperti mana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana Persekutuan Malaysia terdiri daripada Wilayah Semenanjung Tanah Melayu, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
Perubahan ini juga selari dengan misi Sabah dan Sarawak agar sebarang kandungan MA63 dikuatkuasakan, agar tidak berulang lagi penghakisan hak-hak dua negeri itu semenjak tahun 1976.
Perubahan istilah bukan lah luar biasa kerana Australia dan Kanada juga menggunakan premier untuk merujuk kepada ketua kerajaan negeri manakala Perdana Menteri merujuk kepada ketua Kerajaan Persekutuan, hanya mungkin Perkara 160 Perlembagaan perlu diubah sedikit untuk memasuk istilah itu untuk merujuk pada Sabah dan Sarawak.
Bagi penulis, apapun istilah yang digunakan untuk jawatan Ketua Menteri atau TYT bagi Sabah dan Sarawak, yang paling utama, adalah hak-hak dalam MA63, perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa gagal.
Sumber asli dua wilayah itu, bukan sedikit sumbangannya pada ekonomi negara, bukan sedikit peluang-peluang pekerjaan atau perniagaan tercipta kerananya, namun, berdekad lama-lamanya, rakyat dua wilayah itu hanya sebagai melukut di tepi gantang, terutama dalam sektor minyak dan gas, peladangan dan industri yang bersumberkan bahan mentah daripada sumber hutan dua wilayah tersebut.
Benar lah, apabila perubahan politik berlaku, maka yang hak mendapatkan semula haknya. Jika sekirannya TIDAK BERLAKU perubahan kerajaan selepas PRU-14, penulis yakin status Sabah dan Sarawak masih kekal seperti berdekad yang lalu.