MANAKALA proses demokrasi semakin riuh dengan percaturan strategi politik, rundingan demi rundingan bagi menentukan kerusi, gerak kerja jentera di serata negeri, tidak kurang rakyat melihatnya langsung tiada makna pada kehidupan mereka.
Mereka yang terkesan pandemik covid-19, keutamaan mereka adalah untuk mencari rezeki dengan melakukan apa sahaja bentuk kerja, asalkan boleh memperolehi pendapatan demi kelangsungan hidup diri sendiri dan keluarga.
Kesan luar biasa pandemik ada lah kenaikkan harga barang, termasuk barangan keperluan harian, malah kini, telur ayam pun, bukan lagi boleh dijadikan lauk masyarakat marahean, akan tetapi hanya terhad di meja-meja makan, mereka yang mempunyai kemampuan daripada segi kewangan atau mereka yang mempunyai status.
Bayangkan telur ayam yang biasanya mengisi sudut-sudut pasar raya atau rak-rak kedai-kedai runcit, kini, memanjang kosong.
Apa ertinya berbicara berkenaan kuasa, berbicara berkaitan demokrasi, berbicara berkaitan politik, berbicara berkaitan pembangunan, kesejahteraan, sedangkan makanan pokok pun, masih ramai rakyat sedang merana, bukan sahaja itu, jumlah rakyat yang menjadi gelandangan pun meningkat, kerana terpaksa atau diusir daripada rumah-rumah atau bilik-bilik sewa kerana tidak mampu lagi membayar.
Tidak keterlaluan, sudah dua tahun, sebahagian rakyat sudah “adjust” cara kehidupan mereka, dari dua kali makan sehari, kepada sekali, dan kini, ada yang sekali untuk dua hari.
Jangan berbicara lagi soal lauk apa yang di makan bersama nasi, jangan tanya lagi, apa kah minyak masak yang digunakan, kerana minyak yang digunakan bukan sahaja dikitar berkali-kali, malah warna minyak itu, bukan lagi seperti minyak, akan tetapi kelihatan seperti minyak tar.
Rakyat negara ini, benar-benar disajikan dengan memimpin itu kerana kuasa, bukannya memimpin itu kerana rasa tanggungjawab. (Bagi yang tergolong muhasabah diri lah, bagi mereka yang tidak termasuk, teruskan perjuangan dan kepimpinan, kerana penulis tersangat sedar, dalam tandan pisang itu, pasti ada buah yang busuk).
Kerana mengejar kuasa, para pemimpin berselindung di belakang rakyat dan demokrasi dengan berbagai cara dan pendekatan, semata-mata untuk mengabui mata rakyat, dan malangnya, sebahagian rakyat tidak menyedarinya.
Rakyat disajikan dengan berbagai janji, berbagai harapan, tetapi akhirnya, apabila kuasa di tangan, keutamaan adalah KUASA, terlupa sudah “RESPONSIBILITY”.
Rakyat negara ini, sudah melalui berbagai pilihan raya, sudah merasakan berbagai bentuk kerajaan, dengan pemimpin yang saling berganti, akan tetapi rakyat yang dijadikan sandaran yang dijanjikan untuk dibela, diubah kehidupan mereka, kekal pada keadaan yang sama, dan sungguh malang sekali, apabila musibah menimpa, kehidupan mereka daripada susah bertukar merempat.
Dalam keadaan sesetengah rakyat yang tidak lagi mampu menggunapakai kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang, mereka yang tergolong kayangan, begitu asyik menikmati juadah atas meja, dan mereka ini lah siang malam meratib, kononnya, ingin mendapat kuasa untuk membela rakyat, sedangkan semasa berkuasa, mereka mudah sangat terlupa berkaitan tanggungjawab. Golongan ini, merasa bangga dengan memuat naik di media sosial, majlis-majlis makan-makan, dan sudah tentu, suasana VVIP.
Sudah tibanya, rakyat perlu memikirkan semula, walaupun hak anda, hanya satu undi, akan tetapi pergunakan lah hak itu sebaik mungkin, dan berdoa lah jangan sampai hak itu jatuh ditangan pada para pemimpin yang mengatas namakan rakyat, untuk kuasa, bukannya tanggungjawab.
Jika rakyat terus menggunapakai, pendekatan "FAST Approach" (mengenalpasti parti dan calon, bertanya pada diri sendiri manafaat menyokong, kaji latar belakang parti dan calon atau pemimpin, dan teguh pada pendirian), suatu hari nanti, para pemimpin yang hanya mengejar kuasa lambat laun akan lenyap, dan berganti dengan pemimpin yang bertanggungjawab.
Selain itu, di masa hadapan, rakyat tidak lagi akan mendengar, ada pemimpin yang didakwa kerana salah guna kuasa, tiada lagi didakwa kerana mementingkan diri sendiri, kerana para pemimpin sudah bertukar, kepada golongan pemimpin yang dapat kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab, dan melaksanakan amanah yang diberikan untuk kesejahteraan rakyat yang memberi mandat.