ALANG kah moleknya, dalam proses perjuangan, mereka yang menjadi ahli sesebuah parti dipandu oleh pemimpin yang bebas isu moral, termasuk juga yang bebas isu perbuatan jenayah.
Malangnya dalam proses perjuangan, pada masa yang sama, mereka itu terpaksa membela atau mempertahankan pemimpin yang berhadapan dengan isu-isu tersebut.
Erti peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi di bawa mati, mungkin sangat melekat pada diri mereka, sehingga kewajaran berfikir dan membuat keputusan tertutup rapat, apabila seseorang pemimpin yang dianggap berjasa pada mereka atau perjuangan, walaupun terpalit salah laku secara peribadi pemimpin itu, yang sepatutnya tidak boleh berlaku, mereka meletakkan jasanya lebih besar berbanding perbuatan peribadi, maka mereka memilih meneggakkan benang basah.
Situasi ini lah yang berlaku pada parti Umno, kerana sokong parti, maka akan terus mempertahankannya, meskipun dipimpin oleh pemimpin yang berhadapan isu moral malah ada yang didapati bersalah oleh mahkamah. Keadaan ini, bukan sahaja berlaku pada ahli biasa parti itu, juga termasuk para pemimpin parti di semua peringkat.
Dalam berhadapan situasi ini, penulis yakin, bukan sedikit berdepan dengan dilema, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kerana situasi demikian, maka penyokong dan ahli parti sebahagian besarnya memilih, genggam bara api sampai jadi abu.
Melekatnya perasaan tersebut, dapat dilihat reaksi Tan Sri Annuar Musa, salah seorang pemimpin Umno, yang mana sedikit masa lalu, cuba menjarakkan diri dengan kluster mahkamah, namun merasa terluka, apabila Tan Sri Muhiyiddin Yassin mengatakan kemenangan Umno pada PRN Johor adalah kemenangan kluster mahkamah
Reaksi segera Annuar, walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan seumpama itu adalah menghina rakyat Johor. Maksud beliau, jika pengundi Johor mengundi Umno, maka menyokong kluster mahkamah, serupa juga dengan maksud Muhiyiddin Yassin.
Mengapa kenyataan sedemikian boleh timbul? Sedangkan dalam Umno itu sedikit sekali yang termasuk dalam kluster mahkamah. Sebabnya, parti itu, tidak sanggup mengenepikan pemimpin yang dipandang jasanya lebih tinggi berbanding perbuatan peribadi, dan Umno itu tidak boleh terkubur, kerana adanya pemimpin yang sedemikian.
Di mata ahli dan penyokong parti itu, parti lebih banyak jasanya, dan perlu dipertahankan. Kerana pendirian tersebut, maka telah terbukti pada PRN Melaka, apabila pengundi yang keluar mengundi adalah sebahagian besar ahli dan penyokong tegar, maka telah memberi kemenangan 2/3 di DUN Melaka.
Sebenarnya Umno telah berubah 360 darjah selepas kehilangan kuasa pada PRU-14. Sebelum kehilangan kuasa, parti itu mengamalkan, setiap pemimpin yang dilihat mempunyai isu moral, diminta, dipaksa meletakkan jawatan, jika enggan, maka dipecat. Parti itu sebelum kehilangan kuasa, pemimpin yang didapati hadirpun pada perjumpaan secara umum dengan majlis anjuran pembangkang, akan berhadapan tindakan disiplin dan pemecatan, sedangkan, tindakan pemimpin itu, hanya tanggungjawab moral pada rakyat secara umum.
Kini, parti itu, telah membuang jauh-jauh amalan itu, malah menganggap, mana-mana pemimpin parti yang terbongkar salah laku, dicap sebagai angkara pihak kerajaan atau pihak lawan, walaupun pemimpin itu jelas bersalah di mata undang-undang.