JIKA menurut laporan media arus perdana, pemberian kad warga asing (PATI) di Sabah untuk mereka yang telah menetap dalam tempoh yang lama termasuk kanak-kanak adalah ‘CADANGAN KERAJAAN SABAH”.
Pada asasnya cadangan mendokumentasikan setiap penduduk yang menetap di Sabah adalah kewajibaban yang perlu dilakukan. Pendokumentasian itu selain mengenal pasti jumlah penduduk sebenar juga sebagai input dalam merangka perekonomian, kemudahan awam seperti hospital, sekolah malah perumahan.
Pemandangan “street kids” di bandar-bandar atau pekan-pekan di Sabah bukan lah sesuatu yang pelik, malahan berlarutan berdekad-dekad. Mereka ini adalah anak-anak PATI yang tiada akses pada alam pendidikan. Mereka tinggal di kawasan-kawasan setinggan, kemudian membesar, dan pada gilirannya menjadi pengerak pada aktiviti-aktiviti seperti menjual barang-barang seludup seperti rokok, menangkap ikan menggunakan bahan peledak, malah tidak sedikit daripada mereka menjadi token dadah.
Semua rakyat sebenar Sabah tahu, mereka adalah produk kedatangan beramai-ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah untuk tujuan ekonomi, melalui lubang-lubang tikus di semua penjuru negeri.
Kedatangan PATI, adalah lumrah alam, di mana ada gula di situ ada semut. Juga di mana ada permintaan di situ ada penawaran. Kecenderungan syarikat-syarikat peladangan, pembinaan atau syarikat-syarikat yang bergiat dalam kerja-kerja 3D (dirty-dangerous-difficult) mengutamakan pekerja yang sanggup dibayar upah murah, ada lah penarik utama kebanjiran PATI ke Sabah.
Memang benar, pada awalnya mereka yang datang pada tahun 70-an, dianggap sebagai pelarian perang impak perang saudara di Selatan Filipina. Juga benar, kedatangan pekerja Indonesia pada awal 70-an kerana tarikan kerja-kerja pembalakan dan peladangan. Namun selepas itu, kedatangan mereka daripada Filipina bukan lagi sebagai pelarian perang, akan tetapi bermotifkan ekonomi. Manakala kedatangan rakyat Indonesia kekal kerana tarikan ekonomi.
Ada lah lumrah, jika kumpulan tertentu sudah mempunyai koloni pada sesuatu tempat, maka saudara mara, kawan-kawan atau rakan sekampung akan turut sama datang, apa kah melalui pintu rasmi atau lubang-lubang tikus. Kerana pertimbangan kos dan birokrasi, maka lubang-lubang tikus menjadi pilihan.
Isu PATI menjadi isu politik pada awal tahun 90-an, apabila terbongkarnya pemberian “kad pengenalan” kepada kumpulan ini, yang mana masa itu, dianggap sebagai rakyat lewat mendaftar kelahiran. Penulis tidak pasti, sejauh mana kebenaran perkara ini, kerana menerusi RCI PATI Sabah pun yang diumumkan menjelang PRU-14, dakwaan ini tidak diperincikan.
Tidak dinafikan, impak gerakan mendaftar “rakyat yang lewat mendaftar” telah mengubah demografi Sabah, bukan sahaja berimpak pada persempadanan pilihan raya, juga jumlah pengundi pada sesebuah kawasan.
Jika berpandukan pada persempedanan pilihan raya negeri sehingga PRU tahun 1999, komposisi antara tiga suku utama adalah 20-20-8, kemudian bertukar pada 32-20-8 pada PRU tahun 2004, dan pada PRU-14, atau PRN-16 Sabah telah menjadi 42-23-8.
Jika dibandingkan pertambahan rakyat Sabah dengan negeri jiran atau negara, malah dunia, Sabah mengalami peningkatan penduduk yang luar biasa tingginya. Pun demikian, tiada sesiapa yang dapat merungkai, punca peningkatan penduduk yang meroket ini, hanya “pendaftaran lewat” yang menjadi kambing hitam.
Tiada sesiapa lagi boleh mempersoalkan, mana-mana penduduk Sabah yang menjadi rakyat atau warganegara yang mana data mereka terdapat dalam simpanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mana-mana rakyat yang mempunyi data dalam jabatan tersebut termasuk “family tree” meraka adalah sah sebagai warganegara. Apa yang menjadi kemuskilan atau masalah adalah terdapatnya ratusan ribu penduduk yang tidak berdokumen yang bermastautin dalam negeri.
Kehadiran mereka ini, walaupun mungkin jumlah mereka telah didatakan menerusi banci penduduk, atau agensi-agensi keselamatan lain, akan tetapi, kehadiran mereka dikategorikan sebagai “haram”. Kerana status itu, mereka hanya boleh bekerja secara curi-curi, jika ada majikan didapati memperkerjakan mereka, majikan tersebut berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Sebagai manusia, mereka ini perlu juga makan minum, perlu tempat tinggal. Kerana keperluan, maka menjamurnya rumah-rumah setinggan, termasuk lah menceroboh tanah-tanah kerajaan, menyambung elektrik dan air secara haram, menyewa gerai-gerai orang tempatan untuk berjualan, malah menyumbang masalah sosial di kawasan-kawasan padat termasuk isu sampah dan kebersihan.
Membiarkan mereka tidak dapat menyumbang tenaga mereka terhadap aktiviti ekonomi negeri secara sah, ada lah satu ketirisan daripada segi hasil kutipan hasil, kerana rekod mereka ini, jikapun bekerja pada syarikat tidak didokumenkan. Untuk menjadikan mereka tersenarai sebagai pekerja sah, maka perlu dokumen yang sah. Menerusi dokumen sah, maka status mereka adalah jelas. Hanya yang menjadi kebimbangan, jika dokumen seperti ini diberikan, maka semakin ramai lagi akan datang, untuk mendapatkan dokumen seperti ini, kerana dokumen seumpama itu, menjadi pasport mereka bergerak bebas, bebas mencari kerja, bebas berniaga, malah anak-anak mereka boleh menikmati pendidikan, seperti rakyat Sabah yang lain, walaupun ada sedikit perbezaan, mungkin mereka ini kena membayar “token”.
Mereka ini akan menjadi pesaing rakyat tempatan terutama dalam aktiviti peruncitan, seperti gerai-gerai makan, buah-buahan, sayur-mayur, makanan laut, menjual kuih muih dan sebagainya.
Tidak keterlaluan, boleh di katakan, taman-taman perumahan yang padat peduduk, aktiviti-aktiviti seumpama itu, hampir dimonopoli oleh golongan ini. Ada lah diramalkan, jika mereka ini dilengkapkan dengan KAD WARGA ASING, yang diiktiraf secara rasmi, aktiviti seperti mana disebutkan, secara perlahan-lahan bertukar dan seterusnya akan sinonim dengan golongan ini, seperti mana yang pernah melekat pada “Pasar Pilipin” di Jalan Tun Puad, Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu.
Tidak disangsikan cadangan pemberian KAD WARGA ASING adalah satu penyelesaian berkaitan kependudukan, akan tetapi, dalam jangka panjang akan mengundang malapetaka, khususnya berkaitan demografi negeri, sosial dan peluang-peluang perniagaan atau aktiviti ekonomi.
Jika menghimbau kembali, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Persekutuan perlu menjaga keselamatan Sabah, khususnya daripada kedatangan rakyat asing yang tidak sah, bukannya berkaitan kemanusiaan ataupun perekonomian. Fikir-Fikirkan.