PERKEMAHAN (retreat) para ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 4-6 Februari, 2022 di Kudat, bukan sahaja mempereratkan setiakawan antara mereka, akan tetapi memperkukuhkan lagi gabungan tersebut.
Perkemahan yang dirasmikan pembukaannya oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dan penutupnya oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor, bukan sahaja berjaya merungkai, sebarang isu antara parti-parti, akan tetapi meningkatkan saling percaya antara satu sama lain.
Menerusi perkemahan tersebut, setidak-tidaknya jalinan antara wakil rakyat rentas parti dieratkan, untuk bergerak sebagai satu pasukan.
Semua wakil rakyat gabungan tersebut, mengerti, bahawa mandat yang diberikan pengundi Sabah pada PRN-16 Sabah, bukan sahaja perlu dipertanggungjawabkan, akan tetapi digunakan sebagai wadah untuk membangun, memajukan rakyat dan negeri, seperti mana yang telah diterjemahkan menerusi HALATUJU negeri- SABAH MAJU JAYA.
Adalah diingat pada mana-mana pihak, untuk tidak cuba menanam syak wasangka hubungan antara pemimpin-pemimpin atau parti-parti dalam gabungan tersebut, kerana para pemimpin dalam gabungan tersebut, bukan sahaja mempunyai satu tekad, akan tetapi mempunyai misi yang sama, untuk mengeluarkan negeri dan rakyat daripada negeri yang teramai miskin tegar, ramainya penganggur dan rendahnya pendapatan ketua isi rumah di negara ini.
Menerusi SMJ, Sabah akan lepas landas (take off) di akhir tahun 2025, sebagai sebuah negeri maju. Pada masa itu, harapan rakyat, kutipan hasil negeri bukan lagi RM5bilion, atau RM6bilion, akan tetapi melepasi RM10 bilion.
Ada lah jelas korelasi antara kutipan hasil tinggi dan kesejahteraan rakyat, atas sebab, semakin tinggi hasil negeri, maka kemudahan-kemudahan untuk rakyat dapat disediakan, peluang pekerjaan semakin terbuka luas, dan pada gilirannya, pendapatan rakyat juga meningkat.
Sabah mempunyai kapasiti untuk maju, kerana khazanah alam semulajadi yang tersedia. Meneroka khazanah itu, memerlukan pemerintahan yang beterusan, selain mempunyai keberanian melangkah ke hadapan.
Penulis melihat, gabungan para wakil rakyat serta para pemimpin dalam GRS mempunyai kemampuan dan kebolehan yang diperlukan.