WALAUPUN pilihanraya Umum Negeri Johor belum ditentukan SPR, akan tetapi, trend jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat ada lah isyarat, kemenangan Umno.
Dalam keadaan pilihanraya yang diancam virus Covid-19, hanya pengundi yang mempunyai komitmen tinggi pada sesebuah parti mengambil risko untuk keluar mengundi.
Seperti pada PRN Melaka, rendahnya peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab, dan mereka yang merisikokan diri sebahagian besar daripada kumpulan penyokong tegar dan ahli parti Umno, maka Umno menang 18 kerusi, dan bersama parti komponen, BN menang 21 kerusi. Jumlah itu merupakan kuasa 2/3 dalam DUN Melaka.
Memang pun telah dijangka, dan sebahagian strategi Umno untuk melaksanakan pilihanraya negeri, untuk mengikut rentak PRN Melaka, kerana mengambil peluang ancaman Covid-19 yang mempengaruhi pengundi untuk keluar mengundi, terutama pengundi pasif atau pengundi atas pagar.
Dalam situasi jumlah pengundi yang keluar mengundi rendah, hanya parti yang mempunyai penyokong tegar dan ahli yang ramai mempunyai kelebihan.
Daripada sekian banyak parti yang akan menyertai PRN Johor, hanya Umno yang selesa dengan penyokong tegar dan jumlah ahli yang ramai.
Tidak salah bagi Umno mengambil peluang, sesuai dengan situasi dan kondisi semasa, kerana kemenangan politik sesebuah parti politik dalam arena demokrasi, adalah terletak pada strategi dan peluang yang tersedia. Peluang yang ada pada masa ini, adalah peluang bagi parti itu. Adalah tidak bijak jika tidak mengambil peluang seumpama itu.
Dalam sistem demokrasi negara yang menggunakan sistem “First Past The Post”, dalam 10 pengundi, jika salah satu parti mendapat 4 undi, manakala dua parti lain berkongsi masing-masing 3 undi,maka pemenang adalah parti yang mendapat 4 undi, walaupun tidak disokong undi popular. Situasi ini lah yang berlaku pada sistem demokrasi kita, apabila berlakunya pertembungan berbagai parti.
Pertimbangan para pemimpin Umno sekarang, adalah untuk mengembalikan parti Umno sebagai tunjang kerajaan, seperti mana yang lalu-lalu. Parti itu bukan sahaja tidak selesa mendapat kuasa kerana ikhsan parti lain, akan tetapi merasa janggal.
Atas sebab situasi dan kondisi serta peluang hadir, berkat ancaman virus Covid-19, maka peluang seumpama ini, tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, atau dibiarkan berlalu, kerana peluang seumpama ini, jarang-jarang berlaku.
Pada parti-parti yang cuba menyekat bangkitnya Umno, hanya boleh berusaha, untuk tidak memberi laluan mudah, akan tetapi, kena akur lah pada keadaan. Parti-parti yang melawan Umno bukannya tiada kemampuan, akan tetapi kemampuan yang terhad, kerana tiada “vote bank” seperti mana yang ada pada Umno.