GABUNGAN PARTI-PARTI SARAWAK (GPS), awal-awal lagi telah membuat kenyataan tidak akan masuk campur, ertinya gabungan tersebut bertindak neutral.
GPS adalah sebahagian parti yang membentuk Kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaik DUN Johor dibubar, Perdana Menteri dikatakan mengunjungi Menteri Besar Johor, dengan menaiki kenderaan rasmi.Tindakan tersebut, boleh ditafsir, bahawa “Kerajaan Persekutuan” akur dengan pembubaran DUN untuk membolehkan pelaksanaan PRN Johor.
Umum mengetahui, bahawa pembubaran DUN Johor adalah keputusan unilateral Umno Johor, tidak berunding dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.
Banyak pihak mahukan Perdana Menteri bertindak neutral pada PRN Johor, termasuk tidak turun berkempen. Saranan tersebut terlalu sukar dilakukan, walaupun kaki PM terikat pada kedua belah pihak samada pada PN mahupun BN.
Sebagai Naib Presiden parti, adalah “mustahil” bertindak neutral, atas sebab, tiada pemimpin berstatus demikian, menolak kemenangan besar atau mutlak parti yang dipimpin.
PRN Johor adalah strategi Umno untuk membangun keyakinan menjelang PRU-15. Jika parti itu menang besar seperti Melaka, maka sudah mengenggam dua negeri semasa PRU-15 diadakan, itu pun jika tiada PRN negeri lain selepas itu.
Jika PRN negeri berhenti di Johor, maka semasa PRU-15, selain negeri tersebut, Sabah, Melaka dan Sarawak, hanya membabitkan kawasan parlimen. Empat negeri tersebut mewakili 88 kerusi parlimen, iaitu Johor (26), Sabah (25), Melaka (6), Sarawak (31).
Ramai melihat, berasaskan keadaan semasa, selain perubahan politik pasca PRU-14, walaupun adanya pengelibatan pengundi 18, tidak mudah membendung kemarahan Umno untuk bangkit. Selain itu, melemahnya parti Pakatan Harapan (PH), termasuk hilang keyakinan PKR terhadap pakatan tersebut, maka akan memberi kelebihan pada Umno-BN.
Dalam suasana pilihanraya tidak seperti biasa, kerana kekangan berkempen yang bergantung pada SOP yang ketat, parti yang kaya dengan pengundi tegar dan ahli yang ramai, akan ke hadapan seperti mana dibuktikan pada PRN Melaka dan Sarawak.
Parti-parti yang tidak kaya dengan pengundi tegar, dan tidak ramai ahli, yang bergantung pada pengundi pasif (pengundi atas pagar), dapat bersaing, jika peratusan yang keluar menngundi tinggi, seperti mana PRU-14.
Berasaskan keadaan semasa, yang mana ancaman pandemik Covid-19 masih mengancam, tidak mudah mempengaruhi pengundi pasif untuk turun mengundi. Pada sesebuah pilihanraya, dalam keadaan yang kurang mengizinkan, hanya pengundi yang mempunyai “komitmen” pada sesebuah parti “memberanikan” diri mereka keluar mengundi.
Berasaskan pada hakikat ini, desakan agar Perdana Menteri bertindak neutral, sebenarnya, tidak banyak mempengaruhi keputusan pilihanraya, kerana mereka yang mengundi, sudahpun mempunyai pilihan sendiri sejak awal-awal lagi.