Datuk Shafie Apdal berpandangan- politik negara perlu peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif. Menerusi pandangan tersebut, maka secara langsung bukan sahaja mengakui parti PKR sebagai parti yang perlu memerintah negara, akan tetapi juga parti yang sangat sesuai untuk negara.
Shafie merasmikan pengembangan parti Warisan ke Semenanjung pada Jumaat. Warisan sama dengan PKR, kerana menerima keahlian merentasi kaum dan agama. Selain PKR, masih banyak parti serupa, di Sabah sahaja ada PBS, STAR malah DAP dan Gerakan.
Di Sabah dan Sarawak, penerimaan rakyat pada parti berbilang kaum bukan lah pelik, kerana telah berlaku sekian lama. Di Semenajung, walaupun mula bertapak tahun 2008 di Selangor, akan tetapi masih tidak menyeluruh. Malahan, pada PRN-15 Melaka, parti berbilang kaum kalah teruk.
Tidak mudah menghalang parti-parti yang berasaskan kaum di negara ini, terutama di Semenanjung, kerana parti seumpama itu mempunyai keseragaman visi, berbanding parti berbilang kaum.
Pandangan Shafie mungkin hanya sesuai untuk Sabah & Sarawak, bukannya di Semenanjung. Pun demikian, tidak sepenuhnya diterima, kerana parti Warisan yang beliau pimpin tidak pun mendapat mandat rakyat Sabah untuk memerintah.
Pengembangan parti Warisan ke Semenanjung, hanya memenuhi nafsu politik dan mungkin juga hanya menyertai pesta demokrasi.
Shafie sepatutnya perlu sedar, jika parti berbilang kaum diterima rakyat negara ini, telah lama PKR dapat membentuk kerajaan Persekutuan. Tidak sedar kah Shafie, PKR hanya menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan, kerana berpecahnya parti berasaskan kaum, Umno, bukan kerana sokongan rakyat pada parti yang berasaskan parti berbilang kaum.
Demikian juga di Sabah, PBS tidak akan tumbang jika rakyat menyokong parti berbilang kaum.
Sebenarnya senario politik tanah air, berkecenderungan untuk kembali pada parti berasaskan kaum dan agama. Kerana kecenderungan tersebut, untuk menghimpun kekuatan, maka kombinasi antara parti diperlukan. Ertinya, parti berasaskan kaum tertentu bertanding di kawasan di mana kaum itu majoriti.