1. Parti pembangkang dan Tun Dr Mahathir berya-ya sangat mengemukakan usul tidak percaya kepada DS Najib Razak semasa sesi parlimen yang bermula 19 Okotber. Mereka tahu, bahawa usul itu tidak akan mampu membuatkan PM meletakkan jawatan, sebabnya jumlah tidak mencukupi bagi maksud memaksa DS Najib meletakkan jawatan. Jumlah undi sebanyak 112 diperlukan untuk maksud undi tidak percaya berjaya.
2. Pakatan Harapan baru kini, hanya ada 72 kerusi termasuk seorang ahli bebas, manakala Pas 16. Pas sudah membayangkan, tidak bersetuju dengan undi tidak percaya, kerana ianya bukan cara yang betul memaksa DS Najib meletakkan jawatan. Pas mahu biar rakyat yang menentukan melalui pilihanraya umum, jika sekiranya mahu menolak Najib sebagai Perdana Menteri.
3. Sebenarnya tujuan Pakatan Harapan Baru dan Tun Dr Mahathir melaksanakan undi tidak percaya adalah untuk menekan dan memalukan DS Najib. Mereka juga mahu, agar tercatit dalam hansard parlimen, bahawa Najib satu-satunya Perdana Menteri Malaysia daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mendapat undi tidak percaya di dewan rakyat.
4. Selain itu, mereka mahu merundumkan imej Perdana Menteri baik dalam negara mahupun luar negara. Mereka mahukan DS Najib sebagai Perdana Menteri “junk” atau pariah.
5. Tidak dapat dinafikan bahawa imej seseorang pemimpin boleh menjadi katalis bagi menjatuhkan parti yang dipimpinnya. Walaupun imej yang teruk itu tidak semestinya menjatuhkan kerajaan. Sebagai contoh, pada PRU Tahun 1999, era Reformasi kerana pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, imej Perdana Menteri (Dato Seri Dr Mahathir) masa itu cukup teruk, malah diberi gelaran yang luarbiasa seperti Firaun, mahazalim and sebagainya. Keputusan PRU tersebut masih memihak kepada Bn dengan kuasa 2/3 di dewan rakyat, walaupun Negeri Terengganu ditawan Pas.
6. Pada PRU-12, walaupun tiada isu berat dalam negara, namun Bn kehilangan kuasa 2/3 di dewan rakyat, kerana imej Perdana Menteri yang sambil liwah aka suka tidur dalam majlis-majlis penting. Manakala pada PRU-13, sebenarnya tiada isu berat bagi Bn, akan tetapi jumlah kemenangan merosot berbanding PRU-12, yang dianggap pencapaian Bn paling teruk sejak merdeka.
7. Bagi berdepan PRU-14, sebenarnya hanya isu ekonomi yang didepani Bn, iaitu kenaikan sara hidup akibat kenaikan harga barangan. Bagi mengatasi fenomena itu, sudah tentu melalui tindakan ekonomi. Melalui tindakan ekonomi yang jitu, rakyat akan faham dan menerima. Namun, berdepan dengan imej Perdana Menteri yang begitu tercalar sebagai impak 1MDB dan wang RM2.6bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau, membawa implikasi yang sangat ketara kepada persepsi rakyat khususnya pengundi atas pagar.
8. Kemenangan dalam pilihanraya, sangat bergantung kepada pengundi atas pagar, gagal mendapatkan undi mereka, maka kecundanglah sebuah parti.
9. Bagi Bn, tidak semestinya mampu mendapat undi para ahlinya, terutama parti-parti yang berasaskan kaum cina. Sudah terbukti melalui PRU-12 and 13, para pengundi cina menolak calon-calon Bn.
10. Bagi parti Umno pula, undi yang dirai pada PRU-13 lalu, tidak akan diperolehi semula, kerana pergolakan dalaman dalam parti. selain itu, akan ramai calon-calon Umno tidak akan mendapat undi cina, kerana kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin Umno yang terikut-ikut dalam kanca politik perkauman kerana terperangkap dengan cara DAP yang memangpun parti perkauman, kerana parti itu hanya mementingkan undi cina sahaja, bukannya undi kaum lain, khususnya bumiputera atau melayu.
11. Kenyataan-kenyataan pemimpin melayu yang bersifat perkauman, terutama yang dizahirkan melalui himpunan Baju Merah, berimplikasi buruk kepada calon-calon Bn, khususnya kawasan-kawasan marjinal. Adalah diramalkan, bahawa pada PRU-14 akan datang, calon MCA atau Gerakan di Semenanjung bakal menerima pukulan teruk, kerana selain undi melayu yang tidak mencukupi untuk mereka menang, juga mereka tidak akan mendapat undi kaum mereka sendiri.
12. Bagi Umno pula, jangan anggap remeh serangan Tun Dr Mahathir, apatah lagi, melalui kenyataan Setiausaha Agung- Tengku Adnan Tengku Mansor, bahawa terdapat 7 pemimpin Umno dimasukkan dalam radar untuk diambil tindakan. Jika ini berlaku, dan didalam 7 pemimpin Umno itu termasuklah pemimpin yang popular di kalangan akar umbi, maka Umno akan berdepan dengan masalah yang rumit mempertahankan kerusi yang dimenangi Tahun 2013, iaitu 88.
13. Umno tidak boleh kehilangan kerusi pada PRU-14, kerana jika berlaku kehilangan kerusi, alamat Bn tidak akan dapat mempertahankan Kerajaan Persekutuan.
14. PRU-14, merupakan pilihanraya menentukan hidup matinya Bn.