APAPUN keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkaitan agihan kerusi pada pilihan raya peringkat parlimen (PRU-15) perlu berpandukan kepada kekuatan gabungan.
GRS yang dianggotai PN, BN dan PBS menang 38 kerusi DUN pada PRN-16 Sabah 26 September, 2020 daripada 73 yang dipertandingkan.
Jika dinisbahkan kemenangan tersebut, terhadap jumlah kerusi, ianya mewakili 52 peratus. Dan jika nisbah ini diratiokan dengan jumlah kerusi parlimen, maka mewakili 13 kerusi parlimen. Namun, bukan demikian perkiraannya, kerana setiap parlimen mempunyai keunikan sendiri.
Memang jelas, parlimen Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Semporna, sukar dimenangi gabungan tersebut, akan tetapi 21 lagi mempunyai potensi tinggi untuk dimenangi.
Jika semua parti dalam gabungan mengambil pendekatan menang-menang, tidak dinafikan boleh menawan 21 kawasan parlimen di Sabah.
GRS perlu meletakkan matlamat, untuk memastikan kepentingan Sabah khususnya dalam pembuat dasar di peringkat kerajaan Persekutuan. Jika GRS boleh "deliver" 21 kerusi, jumlah itu sangat memberi impak besar kepada masa depan rakyat dan negeri.
Sangat mudah untuk mencapai matlamat tersebut, semua parti dan pemimpin dalam GRS, buang ego masing-masing, dan tumpukan kepada kesepakatan dalam gabungan.