KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.
Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 72, atau lebih dikenali sebagai Isa Samad, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober tahun lalu.
Mohd Isa, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan