Hakikat perlu diterima, Umno tidak sekuat dahulu. Buktinya pada PRU-14 kehilangan kuasa, sedangkan parti itu sudah sinonim sebagai parti tulang belakang kerajaan sejak merdeka.
Selepas kehilangan kuasa pada PRU-14, Umno dan PAS mengadakan piagam kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), kerana menyedari, kerajaan dimonopoli oleh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pada masa yang sama juga, pemimpin melayu dalam PH, menyadari, semakin lama, bersama PH, maka penguasahaan kaum majoriti dalam negara perlahan-lahan terhakis.
Kerana kesadaran tersebut maka timbul Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober, 2019 yang digerakan oleh pemimpin melayu dalam PH, kemudian mendapat sambutan daripada Pas, NGO melayu dan beberapa pemimpin Umno.
Kongres Maruah Melayu itu tidak berhenti hanya pada masa kongres diadakan, ianya diikuti oleh langkah Sheraton pada Februari, 2020, yang menyebabkan Kerajaan PH tumbang.
Dengan tumbangnya kerajaan PH, maka ditubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disokong oleh 114 ahli parlimen daripada Umno, Bersatu, PAS, GPS, STAR, MIC, PBRS dan PBS. Ekoran sokongan tersebut, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 29 Februari, 2020, dan mengangkat sumpah pada 1 Mac, 2020.
Semasa menyokong penubuhan kerajaan PN, memang daripada awal, Umno membuat pendirian, sokongan itu hanya sehingga tamat penggal, kerana mengambil maklum pandemik Covid-19 dan kelesuan ekonomi negara impak kepada pandemik tersebut.
Umno mengotakan janjinya, apabila PN ditubuhkan sebagai parti, parti itu tidak menyertainya. Kesungguhan Umno tidak menyertai PN, apabila pada PRN-16 Sabah pada 26 September, 2020, Umno kekal menggunakan logo BN, bergandingan dengan PN dan PBS menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara hubungan Umno Sabah dan Bersatu Sabah sudah selesai, menerusi GRS, malah semua pihak dalam gabungan tersebut komited memperkukuhkan Kerajaaan GRS, malah Pengerusi Penyokong Kerajaan DUN Sabah- Datuk Salleh Tun Said, menyuarakan kemelut politik antara Bersatu dan Umno di Semenanjung tidak harus jejas kerjasama GRS.
Memang telah dijangka masalah antara Umno dan Bersatu akan timbul, kerana pengagihan kerusi; walaupun masalah yang sama juga timbul antara parti itu dan Pas.
Masalah agihan kerusi dengan Pas, agak mudah dirungkai, kerana menggunakan penanda aras PRU-14. Menerusi MN, diputuskan, mana-mana parti yang mendapat undi terbanyak di kawasan-kawasan yang dimenangi PH, maka akan ditandingi parti berkenaan. Namun pendekatan tersebut, tidak tergunapakai antara Umno-Bersatu, kerana isu 16 MP Umno yang melompat ke Bersatu. Umno berpandangan, 16 kerusi yang dimenangi atas tikit parti itu, perlu dikembalikan kepada parti tersebut, malah parti itu selain 54 kerusi yang dimenangi pada PRU-14, akan bertanding tambahan 41 kerusi lagi, termasuk mungkin semua kawasan yang dimenangi Bersatu, semasa parti bunga tersebut bersama PH.
Kerana isu agihan kerusi, maka Umno membawa usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PAU parti itu yang diadakan pada 31 Januari, 2021.
Jika Umno memutuskan tidak kerjasama dengan Bersatu, maka satu pertanyaan, dengan pihak mana Umno bakal bekerjasama? Dengan PAS? Dengan GPS? Sedangkan dua parti tersebut adalah penyokong PN, dan Pas sendiri adalah anggota komponen PN.
Melihat kepada perubahan kepada kecenderungan rakyat negara ini, jika Umno memilih menolak kerjasama dengan Bersatu, dan menuju PRU-15 bersama BN, maka akan berulang keputusan PRU-14, PH akan menerajui Putrajaya semula.
Belum terlambat lagi, kerana anggapan bahawa Umno-Bersatu putus hubungan, kerana belum muktamad. Peranan parti Pas sebagai sahabat bagi kedua-dua parti tersebut, mempunyai tugas berat merungkai permasalahan, untuk menjadikan dua parti itu bertaut semula, bagi mengelak, tertubuhnya kerajaan yang dimonopoli DAP seperti mana 22 bulan pemerintahan PH.
Penulis yakin masih adalah lagi pemimpin Umno dan akar umbi tidak sudi keputusan PRU-14 berulang semula, kecuali beberapa pemimpin parti itu yang desperado kerana ditolak oleh rakyat di kawasan masing-masing dengan teruk sekali pada PRU-14, selain segelintir yang beragenda sendiri yang mengatas namakan akar umbi, mahu sangat melihat putus hubungan antara parti tersebut dengan Bersatu.