MEMANDANGKAN ancaman pandemik Covid-19 masih mengancam negara, desakan Umno supaya parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU-15, kemungkinan besar tidak diperkenaan oleh Seri Paduka Baginda Agong (SPBA).
Umno merancang agar PRU-15 diadakan, dengan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN), melalui pemutusan hubungan dengan Bersatu.
Siapa kah yang mengetuai Kerajaan Sementara? Apa kah SPBA mengikut tatacara yang Baginda perkenaan semasa Tun Dr Mahathir meletakan jawatan, yang menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu?
Sebelum sampai ke situasi demikian, maka perlu adanya kekosongan jawatan Perdana Menteri. Jika tiada kekosongan, maka SPBA perlu memberi perkenaan kepada Perdana Menteri untuk menerajui kerajaan sementara, sehingga pilihanraya ke-15 wajar dijalankan.
Sementara menunggu keadaan tersebut, Bersatu kena bersiap sedia berhadapan dengan serba kemungkinan, dan perlu mencatur strategi bagi berhadapan dengan Umno.
Parti Pas yang merupakan parti rebutan antara Bersatu dan Umno, dikhabarkan “Tunggu dan Lihat”, sehingga selesainya PAU Umno pada 31 Januari, 2021.
Dalam keadaan “peseteruan” antara Umno dan Bersatu semakin memuncak, parti-parti dalam PH dan Warisan yang memerhatikan asyik menikmati snek kegemaran Dato Seri Najib Razak- Super Ring.
Berhadapan PRU-15, Umno di Semenanjung berbekalkan dengan 46 kawasan yang dimenangi pada PRU-14, jika dicampur dengan MCA dan MIC, maka BN Semenanjung berbekalkan 49 kerusi. Jika diambilkira Parlimen Tanjong Piai yang berjaya dirampas pada PRK pasca PRU-14, maka BN berbekalkan 50 kerusi daripada 165 kerusi parlimen yang tersedia di Semenanjung.
Jika Umno dan BN Semenanjung mahu menguasai Putrajaya semula, sekurang-kurangnya menang separuh daripada seluruh parlimen di Semenanjung, dan untuk menubuhkan kerajaan, maka perlu sokongan daripada Sabah dan Sarawak serta Parti Pas.
Umno dan BN Semenanjung kena menang sekurang-kurangnya 32 kawasan parlimen, termasuk yang dimenangi Bersatu dan sebahagian yang dimenangi PKR dan Amanah pada PRU-14, untuk menjadi parti yang “lead” bukan “led by others”.
Melihat senario politik sekarang, anggapan dan emosi sahaja tidak akan ke mana-mana. Parti-parti yang bakal menang, adalah parti yang mendapat restu daripada rakyat.
Rakyat secara umumnya menimbang, parti mana yang akan diberi mandat untuk memerintah negara. Klu kepada timbangan tersebut adalah keputusan PRN-16 Sabah. Jika parti-parti mahu diberi mandat selepas PRU-15, perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya dan secermatnya, keputusan PRN-16 Sabah. Fikir-Fikirkan.