KURANG 24 jam kita berada pada tahun 2020. Pastinya, setiap kita telah mengalami pahit dan manis tahun yang bakal berlabuh.
30 tahun lalu, boleh dikatakan rata-rata rakyat di negara ini mengimpikan satu keadaan gilang gemilang berlaku dalam negara, apabila Wawasan 2020 dilancarkan. Namun, kesudahannya, tidak seperti mana yang dinantikan, sebaliknya tahun yang diharapkan sebagai tahun kegemilangan, bertukar pula sebagai tahun yang penuh duka.
Tahun 2020, pengalaman baharu bagi setiap umat manusia, di negara kita, dunia sejagat, kerana dihidangkan dengan norma baharu yang abnormal, yang meliputi semua aspek kehidupan, termasuk lah urusan keagamaan, biang keroknya adalah pandemik covid-19.
Tahun 2020 juga berlakunya ketidak tentuan politik di peringkat Persekutuan, apabila Kerajaan yang dibentuk pada 1Mac, 2020 dengan majoriti yang amat tipis, terus cuba ditumbangkan, bukan sahaja oleh wakil rakyat yang membangkang, malah wakil rakyat yang sebelumnya menyokong.
Tidak pernah berlaku di negara ini sejak merdeka, bahawa kerajaan yang dibentuk bukan berasaskan parti politik, melainkan oleh kumpulan wakil rakyat, dan ianya berlaku pada tahun 2020 yang bakal ditinggalkan selama-lamanya.
Bagi rakyat Sabah pula, tahun 2020, adalah tahun yang mencatit sejarah tersendiri, kerana pada tahun ini lah sebuah gabungan baharu politik tersingkat yang pernah menang dalam pilihan raya. Gabungan yang dimaksudkan adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terwujud pada 12 September, 2020, 14 hari kemudian telah diberi mandat oleh rakyat Sabah membentuk kerajaan untuk masa sepenggal.
Pastinya, tahun 2020, akan dikenang, selama-lamanya, kerana banyaknya liku-liku kehidupan berkaitan manusia telah berlaku.