TIDAK terbayangkan kehancuran pada perekonomian Sabah, jika kerajaan Warisan yang diterajui Datuk Shafie Apdal tidak ditumbangkan oleh rakyat.
Era kerajaan Warisan, yang hanya berumur 26 bulan, dilihat sangat boros membelanjakan wang kerajaan, namun malangnya, tidak berkesan di lapangan.
Selama 26 bulan, tiada sebarang aktiviti ekonomi baharu yang dilancarkan, kecuali aktiviti pembungkusan minyak kelapa sawit, dengan berbagai nama, sedangkan aktiviti itu, bukannya standard sebuah kerajaan, kerana aktiviti seumpama itu, hanya di peringkat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Penulis telah meneliti Penyata Kewangan Sabah bagi Tahun 2020-2021. Menerusi penyata tersebut, ternyata Simpanan Kewangan Negeri bagi Tahun 2020 berjumlah RM2.139bilion, berbanding Tahun 2017 era Kerajaan Barisan Nasional RM3.74bilion.
Dalam tempoh 3 tahun simpanan Kewangan Sabah telah berkurang sebanyak RM1.6bilion atau 43 peratus.
Untuk rekod, pada tahun 2003, Simpanan Kewangan Sabah berjumlah RM184juta. Pada era Kerajaan BN, khususnya era Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri, simpanan Kewangan Sabah terus meningkat dengan kelajuan 138 peratus setahun, manakala era Datuk Shafie Apdal penurunan dengan kelajuan lebih 14 peratus setahun.
Bukan itu sahaja, anggaran hasil Sabah pada Tahun 2020 hanya berjumlah RM 3.471bilion berbanding perbelanjaan RM 5.407bilion, ertinya Kerajaan Menggunakan wang simpanan kerajaan berjumlah RM1.9bilion.
Rakyat Sabah tertanya-tanya, ke mana kah wang sebesar itu dibelanjakan? Apa kah ada hubung kait dengan projek penyelenggaran jalan raya bernilai RM1.5bilion yang diberikan pada syarikat-syarikat milik kroni, di atas kertas, sedangkan kerja-kerja untuk itu tidak mempunyai kesan di lapangan.
Apa kah wang sebanyak itu, telah menyumbangkan kepada aktiviti politik Warisan, kerana seperti mana yang terlihat pada PRN-16 Sabah, bendera Warisan boleh menutup bumi Sabah, belum lagi iklan besar yang terpampang wajah Shafie dengan tulisan UNITY.
Apa yang menjadi kesangsian daripada rakyat, kerajaan Datuk Shafie telah membelanjakan wang yang begitu besar, namun kadar pertumbuhan ekonomi Sabah bukannya meningkat, akan tetapi menjunam. Sebagai perbandingan, pada tahun 2017 kadar pertumbuhan ekonomi Sabah adalah 8.2% , Tahun 2018 menurun ke 1.5%, Tahun 2019 menjunam ke paras 0.5%, manakala Tahun 2020 dijangka negatif 15% hingga negatif 19%.
Walaupun hancurnya ekonomi Sabah semasa era Warisan, Kerajaan GRS cuba membetulkannya, dan diharapkan dalam tempoh masa Rancangan Sabah Maju Jaya kecemerlangan Sabah akan kembali.
Sebagai permulaan pemulihan pertumbuhan ekonomi Sabah tahun hadapan diunjurkan surplus bajet sebesar RM 179juta, untuk menjadikan simpanan kewangan Sabah menjadi RM 2.318bilion.