DITAKDIRKAN, Kerajaan Warisan Plus yang diterajui Datuk Shafie Apdal tumbang pada PRN Sabah ke-16 pada 26 September, 2020, maka, sebagai implikasinya, TINDAKAN mengelirukan rakyat oleh kerajaan tersebut berkaitan Cukai Jualan Negeri (CJN) dan bayaran Bon RM1bilion terungkai.
Pada sesi pengulungan Bajet 2021 di DUN Sabah pada Rabu, 23 Disember, 2020, Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan Negeri- Datuk Hajiji Haji Noor memberi tahu Sidang Dun, bahawa isu CJN pada hakikatnya telah dimulakan cadangan pelaksanaannya sejak tahun 2014. Atas sebab itu, tiada sebab Kerajaan Warisan menuntut bahawa pelaksanaan cukai tersebut bermula tahun hadapan, ada lah usaha persendirian kerajaan yang dipimpin Shafie Apdal.
Usaha pelaksanaan CJN sebenarnya, telah melalui berbagai proses, sehinggalah kerajaan Sabah era Warisan mengazetkannya pada 1 April, 2020. Manakala Petronas pula telah mendaftar untuk dilesenkan di bawah CJN hanya pada 15 Disember, 2020, tatkala, kerajaan Negeri sudah diambil alih oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Penjelasan Hajiji di DUN Sabah, telah merungkai isu CJN yang selama ini, termasuk dalam sidang DUN Sabah dituntut oleh pemimpin Warisan Plus sebagai usaha solo mereka.
Betul lah, fakta tidak akan pernah berbohong, lambat laun akan terdedah juga.
Para pemimpin, perlu mengambil iktibar terhadap pendedahan isu CJN, supaya di masa hadapan, jangan cuba mengelirukan rakyat, semata-mata untuk tujuan politik.
Berkaitan Bon 1Bilion Sabah yang diterbitkan pada tahun 2014, dan matang pada tahun 2019, kononnya dibayar oleh Kerajaan Warisan pada tahun 2019, atas penjimatan kerajaan tersebut yang bermula pada 12 Mei, 2018, sebenarnya satu pembohongan, kerana semasa Bon tersebut diterbitkan, atas saranan Bank Negara, Kerajaan Negeri perlu mengwujudkan tabung, bagi maksud sinking Fund (dana tenggelam) untuk tujuan pembayaran balik bon tersebut. Menerusi tabung tersebut, Kerajaan negeri menyediakan dana untuk disimpan dalam tabung tersebut, untuk tujuan pembayaran balik terbitan bon yang dimaksudkan.
Adalah mengelirukan dakwaan pihak pemimpin Warisan Plus bahawa Bon tersebut merupakan pinjaman lapuk. Hakikatnya, Bon tersebut telah memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri purata RM500,000 setahun, kerana dana tersebut telah disimpan menerusi Bank Pembangunan Sabah dengan faedah 4.325% berbanding faedah bon 4.275%.
Menerusi pendedahan Kerajaan GRS di DUN Sabah, pihak pembangkang, perlu menghentikan isu putar belit berkaitan CJN dan Bon RM1bilion, sebagai tindakan masuk bakul angkat sendiri. Bukan itu sahaja, tindakan mereka hanya mengelirukan rakyat untuk maksud mendapatkan sokongan politik.