MUNGKIN mereka yang beria-ia sangat merampas Putrajaya, memikirkan, bahawa mereka sedang menunggu keputusan pilihanraya, dan apabila mereka mempunyai 112 kerusi parlimen atau lebih, maka dibenarkan membentuk kerajaan.
Sekarang ini tidak timbul untuk membentuk kerajaan, kerana kerajaan sudah dibentuk. Kabinet sudah dilantik dan telah pun mengangkat sumpah, dan sudahpun menjalankan tugas lebih 3 bulan.
Apa pun tindakan pembangkang sekarang ini, tidak akan mampu menumbangkan kerajaan. Tindakan mereka hanya mengwujudkan kerajaan minoriti, jika mereka berjaya menafikan majoriti kepada kerajaan.
Jangan samakan dengan kerajaan negeri, jika kerajaan kehilangan sokongan, maka boleh dibentuk kerajaan baharu. Kerajaan Persekutuan berbeza, selagi Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan selagi itu lah kerajaan yang beliau terajui kekal wujud dan berfungsi.
Dalam senario sekarang, jikapun kerajaan campuran Tan Sri Muhiyiddin Yassin kehilangan sokongan di Parlimen, apa yang berlaku adalah kerajaan minoriti. Kerajaan minoriti akan terus berfungsi, hanya kekangan adalah meluluskan bajet atau mengubal undang-undang.
Perkara yang perlu difikirkan oleh mereka yang mahu menumbang kerajaan, jangan sesekali berfikir, bahawa jika mereka mampu menafikan sokongan majoriti kepada kerajaan, maka secara automatik YDP Agong melantik Perdana Menteri yang baru. YDP Agong tidak dapat melantik PM yang baru, selagi Perdana Menteri yang ada tidak meletakkan jawatan.
Juga jangan lupa, Perdana Menteri yang kehilangan sokongan majoriti, boleh menasihatkan Agong membubarkan parlimen untuk membuka jalan kepada pilihanraya yang baru. Sementara menunggu pilihanraya, kerajaan kekal sebagai kerajaan sementara atau kerajaan 'caretaker".
Jika PH Plus berhasrat sangat kembali ke Putrajaya, maka mereka perlu menang dahulu melalui piliharaya.
Mereka yang mabuk sangat menimbulkan krisis politik sekali lagi, kena fikir proses tersebut.