TUN DR MAHATHIR tiada pilihan, melainkan merombak kabinet!!! Boleh kah??
Sebagai Negarawan, adalah malang bagi beliau, jika rekod beliau sebagai PM-7 tercatit dalam sejarah negara, pernah menjadi Perdana Menteri kepada barisan kabinet "below par".
Kalau rakyat negara ini ditanya, apa kah Tun perlu merombak kabinet, jawapannya pasti "YA".
Rakyat negara ini, dapat membandingkan prestasi semua menteri dalam barisan kabinet selepas PRU-14, dengan barisan kabinet sebelumnya.
Memang diakui, ramai menteri yang dilantik tiada pengalaman, namun mendekati tempoh masa 2 tahun, sebenarnya sangat cukup bagi mereka mengadaptasi tugas atau memahami tugas mereka, namun adalah didapati, majoriti daripada mereka, macam tergolong kepada "pelajar lembam".
Apa yang mendukacitakan, barisan kabinet yang dipilih berasaskan parti, seolah-olah menjadi menteri kepada parti masing-masing, bukan menteri kepada negara secara keseluruhan.
Jika keadaan ini beterusan, tanpa rombakan kabinet, rakyat sudah pasti menghukum kerajaan pada PRU-15.
Tun Dr Mahathir, cuba mengelak daripada spekulasi bahawa beliau akan merombak kabinet, apabila ura-ura mengenainya muncul pada Julai, dan kemudiannya pada awal Ogos.
Pada awalnya, Tun menafikan bahawa akan ada rombakan kabinet, kemudian menukarnya bahawa akan berlaku perubahan portfolio, dan tiada orang baru menyertai kabinet, untuk mematikan spekulasi bahawa MP Jeli, akan menyertai kabinet.
Jika berlaku hanya pertukaran portfolio, sebenarnya ianya bukan jawapan yang ditunggu rakyat, kerana mengekalkan pemain yang below par, dengan memberi tugasan baru, hanya akan menambah masalah, dan bukannya penyelesaian.
Melihat kepada prestasi kabinet post PRU-14, rekod Tun Dr Mahathir sebagai pentadbir cemerlang seperti mana tercatit semasa beliau menjadi PM ke-4 terhakis, dan jika beliau tidak melakukan perubahan sebelum bersara, maka ianya akan diingati rakyat selamanya.
Daripada segi politik, kuasa Tun Dr Mahathir sangat terhad, kerana mewakili parti yang minoriti, sehinggakan "kuasa prerogatif" sebagai Perdana Menteri tidak mudah digunakan. Sebagai contoh isu tulisan JAWI yang hanya 6 lembar dalam buku teks tahun 4, ada wakil rakyat daripada parti yang banyak kerusi mempersoalkan.
Memandangkan kepada keadaan tersebut, adalah sukar bagi Perdana Menteri melaksanakan rombakan kabinet secara menyeluruh, kerana terikat dengan parti-parti yang mempunyai kuasa politik. Tun Dr Mahathir sebenarnya, bukan sahaja tangan, malah seluruhnya terikat, beliau adalah timun dalam bakul durian.