JIKA saya pemimpin mana-mana parti politik, saya pasti menyokong pembinaan empangan di Sabah, kerana ianya boleh menjamin bekalan air kepada pengguna.
Air merupakan keperluan asas rakyat, selain boleh juga menyokong perindustrian, misalnya industri "air minuman botol".
Bagi kawasan Pantai Barat, daripada Papar sehingga Tuaran, bekalan yang sedia ada hanya mencukupi sehingga tahun 2022, dan jika tiada tambahan bekalan, maka kawasan-kawasan yang disebutkan akan mengalami kekurangan bekalan yang amat teruk.
Melihat kepada keadaan itu, maka kerajaan lalu telah mencadangkan membina empangan di Ulu Papar pada tahun 2008 kerana hanya kawasan itu memenuhi persyaratan untuk dibina empangan.
Empangan yang dicadangkan itu kemudiannya dinamakan Empangan Kaiduan, telah mendapat halangan daripada pihak-pihak pembangkang masa itu, kononnya rakyat tidak memerlukan.
Pihak-pihak pembangkang berselindung atas nama NGO untuk menentang pembinaan itu, malah mereka mendapat sokongan daripada MP pembangkang masa itu.
Terlalu banyak masa dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung masa itu, untuk menerangkan kepada mereka yang membantah/menolak selain dibahas di Persidangan Dewan Undangan Negeri bertahun-tahun.
Antara para penentang itu, kini telah sebahagian pemimpin kerajaan hari ini.
Memangpun empangan itu perlu dibina, jika tidak, masalah air akan berlaku.
Jika kerajaan sekarang mahu membina empangan itu, bermakna, semasa membangkang dahulu, mereka belum nampak betapa mustahaknya empangan tersebut. Adalah menjadi pengajaran kepada sesiapa sahaja, termasuk ahli poiltik, jangan hanya membangkang, kerana berada pada pembangkang, akan tetapi perlu juga bertindak rasional dan bersesuaian dengan fakta. Kalau sesuatu cadangan adalah betul, maka ianya perlu disokong, tanpa mengira, kedudukan dan fahaman politik.
Kerajaan lalu, telah mengambil kira, bahawa pertambahan penduduk bagi kawasan Pantai Barat akan berlipat ganda, dan memerlukan bekalan air sekurang-kurang 1,000 MLD sehingga tahun 2050.