Datuk Nizam Menerima Watikah Pelantikan Dpd Tun Dr Mahathir, Di PICC, Putrajaya pada Rabu 15/5/2019. |
TERLIHAT pemilihan ketua-ketua bahagian penaja PPBM (bersatu) Sabah yang menerima watikah pelantikan mereka semalam daripada Pengerusi parti itu-Tun Dr Mahathir, sempena majlis Iftar Bersatu, di PICC, Putrajaya, adalah para pemimpin akar umbi di kawasan masing-masing, kecuali beberapa daripada mereka yang mempunyai nama di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sebagai parti yang baru melebarkan sayapnya ke Sabah, memangpun tepat memilih mereka yang mempunyai kekuatan akar umbi, sebagai pendorong kepada bakal-bakal ahli di kawasan masing-masing menyertai parti itu.
Semalam, 25 Ketua-Ketua Bahagian penaja yang diketuai Datuk Hajiji Haji Noor selaku Ketua Penyalaras Bersatu Sabah, menerima watikah pelantikan masing-masing.
PPBM adalah sebuah parti dalam Pakatan Harapan bersama-sama DAP, PKR dan Amanah, akan tetapi wakil rakyatnya diperingkat negeri Sabah hanya merupakan penyokong kerajaan yang diterajui Warisan di Dun Sabah, berbeza dengan DAP dan PKR yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.
Di Dun Sabah, Bersatu mempunyai jumlah kerusi ke-2 terbanyak selepas parti Warisan Sabah.
Kemampuan PPBM mendapatkan ahli, akan menjadi "kuasa berbincang" atau "kuasa penentuan" jumlah kerusi yang bakal ditandingi pada PRU-15.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran PPBM ke Sabah adalah untuk menembusi kawasan-kawasan yang dimenangi Umno pada PRU-14. Jika berpandukan kepada keputusan pada PRU lalu, maka PPBM sekurang-kurangnya akan diberikan 17 kawasan Dun dan 7 kawasan parlimen pada PRU-15. Jika pembahagian kerusi di peringkat Dun adalah demikian, maka parti itu akan kekal sebagai parti ke-2 terbesar selepas Parti Warisan Sabah.
Walaupun demikian, adalah terlalu awal, bercakap pembahagian kerusi, kerana jika berlaku perubahan kepimpinan negara, komposisi pembahagian kerusi tentunya akan juga berubah, maka di situ lah terletaknya kekuatan parti itu di peringkat bahagian masing-masing, yang bakal dicerminkan oleh jumlah keahlian.