MENGAPA berlaku sebutan semula kes SRC membabitkan Dato Seri Najib? Sebabnya terdapatnya fakta undang-undang serius yang boleh menyebabkan tuduhan terhadap mantan Perdana Menteri itu terbatal.
Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan berkata terdapat kemungkinan perbicaraan kes itu diisytiharkan terbatal berikutan terdapat isu-isu baru di hadapan mahkamah dan menegaskan tiada taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan oleh Najib.
Berasaskan kepada perkembangan baru itu, maka pihak pendakwa terpaksa membuat tuduhan semula, dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 3 April sebagai sebutan semula.
Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Ogos 2018, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama dari dana serupa.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 33 hari bermula 12 Feb hingga 28 Feb dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan kes itu bagaimanapun ianya ditangguhkan kerana terdapatnya isu perundangan yang serius yang membolehkan DS Najib memfailkan penangguhan.