UMAT melayu, perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir, kerana membuktikan, bahawa kaum itu dibangsatkan di negaranya sendiri apabila kehilangan kuasa.
Penulis yakin betul, tindakan Perdana Menteri itu, menghina Umno sehingga ke lantai, benar-benar menyadarkan parti itu betapa pentingnya kembali kepada perjuangan asal parti itu, iaitu demi agama, bangsa dan tanah air. Menghina Umno, samalah menghina melayu, kerana Umno adalah parti yang mewakili kaum itu sebelum merdeka lagi.
Selepas kehilangan kuasa, memang para pemimpin Umno sedar, antara punca penolakan kaum melayu terhadap parti itu pada PRU-14, kerana ramai pemimpin parti itu lari daripada perjuangan asal parti. Tidak perlu lah disenaraikan semua kesilapan itu, kerana sebahagian pemimpin Umno telah sedar diri dan insaf.
Di lain pihak pula, Pas tersentak, apabila melihat agama islam dihina, Nabi Muhammad SAW dihina sedemikian rupa di batang hidung pemimpin dan ahli parti itu.
Kerana faktor kaum dan agama, maka persengketaan selama 70 tahun, akhirnya dileburkan dan menuju dikuburkan, kerana hanya satu tujuan membela agama, bangsa dan tanah air (ABATA).
PRU-14, menyebabkan Umno dan Pas terhantuk lalu terngadah. Belum terlambat, selagi matahari terbit di ufuk timur, kaum melayu pasti bangkit di tanah air sendiri.