Bersandarkan politik Sabah, kekuatan sesebuah parti politik terletak pada pemimpin utama parti itu. Usno kerana Tun Mustapha, Berjaya kerana Tun Fuad Stephens dan Datuk Harris Salleh, PBS kerana Tan Sri Pairin Kitingan, Warisan Sabah kerana Datuk Shafie Apdal, Umno Sabah kerana membawa roh Tun Mustapha.
Umno Sabah dan Parti Warisan Sabah serupa, semasa membentuk kerajaan, bukan merupakan pilihan rakyat dalam pilihan raya, akan tetapi dapat membentuk kerajaan kerana lompat parti.
Pada PRN Sabah tahun 1994, Umno Sabah yang mengetuai Bn Sabah hanya menang 23 kerusi Dun berbanding PBS 25 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Namun PBS kehilangan kuasa kerana dua ADUN parti itu melompat sehinggakan parti pimpin Pairin itu kehilangan majoriti mudah di Dun Sabah. demikian juga, kerajaan yang ditunjangi Umno Sabah kehilangan kuasa pada 12 Mei, 2018, apabila 4 ADUN parti itu yang juga disertai 2 ADUN UPKO melompat menyokong Datuk Shafie Apdal yang membolehkan ADUN Senalllang itu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada malam 12 Mei, 2018.
Berasaskan senario politik semasa, nampaknya Umno Sabah bukan sahaja berlawan dengan PWS akan tetapi PPBM, dipihak lain pula, PPBM lawan Umno dan PWS lawan Umno. Makna kata, jika PRU-14, Umno Sabah hanya berlawan dengan PWS, pada PRU-15 akan berlawan dua parti, selain PKR dan Amanah.
Senarionya, jika PPBM akan bertanding di kawasan-kawasan yang dimenangi Umno Sabah pada PRU-14, dan PWS bertanding di kawasan-kawasan yang dimenangi pada PRU itu, maka Umno Sabah akan melawan dua parti daripada kategori pengundi yang sama.
Umno Sabah kini mempunyai autonomi penuh, ertinya bebas mencorak hala tuju parti itu. Faktor yang menjadi penghalang kepada parti itu untuk bangkit terletak pada persepsi yang terkandung dalam parti itu, yang membawa nama "melayu", kerana faktor melayu dijadikan isu untuk menolak parti itu, selain parti itu di Sabah tiada pemimpin yang memimpin membawa status figura seperti Tun Mustapha, Tun Fuad atau Tan Sri Pairin. Lagipun, pemimpin yang mengambil alih, hanya kelihatan kuat pada status dalam saf kepimpinan parti, bukan di peringkat akar umbi.
Di Sabah, satu-satunya figura yang boleh membangkitkan Umno Sabah adalah Tan Sri Musa Aman, namun, tindakan pihak-pihak tertentu memalitkan imej buruk kepada Ketua Menteri terlama Sabah itu mengekang beliau mengetuai barisan kepimpinan Umno Sabah. Walaupun demikian, kerana Umno Sabah mempunyai autonomi sendiri, maka terpulang kepada parti itu menentukan pemimpin mana yang akan mengetuainya, walaupun masa ini diketuai oleh Datuk Bung Moktar Radin.
Meminjam kenyataan Tun Dr Mahathir, seseorang yang dituduh di mahkamah tidak semestinya bersalah, melain jika seseorang terbukti bersalah oleh mahkamah. Makna kata, walaupun Tan Sri Musa berhadapan dengan tuduhan rasuah berkaitan dana politik, isu 14 tahun lalu, jika menurut kenyataan Tun Dr Mahathir, maka Musa masih bebas daripada sebarang kesalahan.
Namun, Musa dipercayai ingin berehat daripada sebarang aktiviti politik, kerana beliau menumpukan masa untuk membersihkan nama beliau di mahkamah.
Jika Umno Sabah gagal diterajui pemimpin yang mempunyai "umhh" maka parti itu akan melalui apa yang pernah dilalui parti-parti terdahulu, hanya menang sorak, namun tidak akan dapat menterjamahkannya dalam kerusi.