ALASAN PRN Johor konon bertujuan kestabilan politik, hanya merupakan hujah politik, untuk mencapai misi mendapatkan kuasa lebih besar.
Di Johor, hujah berkaitan kestabilan politik, membawa erti, kerajaan mesti dikuasai Umno, bukannya berasaskan sokongan berbagai parti.
Bagi pemimpin Umno kerajaan tidak stabil, apabila kerajaan disokong oleh berbagai parti, faktor ini adalah penyebab utama, mengapa PRN Johor diadakan.
Kebarangkalian alasan digunakan untuk PRN Johor akan merebak di peringkat Persekutuan, kerana para pemimpin parti yang sama , mendesak Perdana Menteri mengadakan PRU-15 dengan segera.
Lebih 60 tahun, pemusatan kuasa mewarnai kerajaan, samada Persekutuan mahupun negeri-negeri. Pemusatan kuasa itu, dicerminkan oleh penguasaan oleh pemimpin UMNO.
Sebelum Umno hilang kuasa pada PRU-14, jika lebih setengah abad, semua rakyat negara ini, sudah faham benar, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada parti itu, yang sudah menjadi mantra sekian lama.
Impak kehilangan kuasa, bukan sahaja bagaikan mimpi ngeri, akan tetapi para pemimpin parti itu menjadi canggung, remas, malah cemburu bercampur dendam, tidak dapat menerima bahawa Perdana Menteri bukan daripada parti itu.
Tepatnya, hanya 39 bulan, jawatan Perdana Menteri dipinjamkan pada mantan-mantan pemimpin parti itu, dimulai oleh Tun Dr Mahathir dan disusuli Tan Sri Muhiyiddin Yassin. Menerusi Muhiyiddin, pemimpin parti itu, kembali sebagai Perdana Menteri.
Mungkin suratan yang menimpa Muhiyiddin, kerana para pemimpin UMNO bukan sahaja tidak berterima kasih, jauh sekali daripada bersyukur, malah, Pengerusi Perikatan Nasional itu, mengalami mimpi ngeri, kerana tindakan beliau menyebabkan pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri semula, seperti melepaskan anjing tersepit, khususnya daripada kluster mahkamah dan mereka yang ditolak rakyat pada PRU-14.
Tindakan para pemimpin UMNO, khususnya daripada kluster mahkamah dan mereka yang ditolak rakyat, seperti dalam acara sukan tinju, sudah lah lawan TKO, tetapi dipukul lagi bukan tujuan KO, akan tetapi maut.
Sebenarnya, alasan utama PRN Johor, adalah untuk menyingkirkan PN secara mutlak daripada pentadbiran negeri. Kerajaan yang bermenteri besarkan pemimpin UMNO, tidak dapat menerima hakikat, bahawa kerajaan boleh dibentuk, hanya kerana sokongan PN.
Para pemimpin UMNO begitu yakin, menerusi PRN Johor, akan menjadi punca meranapkan PN, khususnya Bersatu, walaupun misi pada PRN Melaka, tidak berjaya sepenuhnya, kerana Bersatu dapat mempertahankan dua kerusi seperti yang dimenangi pada PRU-14, waktu mana UMNO kehilangan kuasa julung kalinya sejak merdeka.
Apa kah 2.57juta pengundi Johor yang menyenaraikan 740 ribu pengundi pertama kali termasuk 140 ribu pengundi 18, menerima pakai alasan para pemimpin UMNO? Atau kah tindakan para pemimpin parti itu satu kesilapan yang sangat mahal? Sama-sama kita nantikan keputusan rakyat Johor pada 12 Mac.