JANGAN sesekali lupa apa yang berlaku pada tahun 2018. Parti yang “gagah perkasa” hilang kuasa. Keadaan serupa pernah berlaku pada tahun 1985 dan 1976 di Sabah.
Mengapa keadaan demikian berlaku? Hanya kerana adanya tindakan sokong membawa rebah. Perdana Menteri atau Ketua Menteri hanya diberikan laporan positif dan kalau ada negatif pun, nisbahnya rendah sekali.
Mengapa timbul sokong membawa rebah? Kerana mereka yang membuat laporan mahu menjaga periuk nasi sendiri. Mereka ini faham benar, melalui laporan positif apa tah lagi mengembirakan, maka mood bos tidak terganggu.
Apabila bos dipagari oleh mereka yang menjadikan kedudukan untuk hidup, termasuk menaik taraf status, maka laporan sebenar apa yang berlaku di lapangan bukan sahaja sukar sampai, malahan tidak sampai, tersekat di pangkal jalan.
Sementara status para pemimpin di laman sosial (mungkin juga diurus pentadbir @admin) memuat naik naratif ‘positif’, tidak semestinya membantu, atas sebab di kawasan-kawasan atau sebahagian rakyat mendapati keadaan sebaliknya.
Belum terlambat, bagi para pemimpin mengurus isu-isu yang menyelubungi rakyat, terutama yang berkait rapat dengan kehidupan harian. Jangan mengulangi keadaan apa yang berlaku pada tahun 1976 dan 1985 di Sabah dan negara pada tahun 2018.
Para “pembesar” perlu berkhidmat pada keseluruhan rakyat tidak kira lokasi mana, bukan hanya untuk kawasan sendiri, bukan untuk penyokong di kawasan sendiri, kerana sesebuah kerajaan itu dapat dibentuk kerana sokongan sebahagian besar rakyat.
Demikian juga “para pembesar” perlu memberi layanan sama rata, kepada semua rakyat tanpa melihat latar belakang suku, bangsa dan agama, kerana Sabah itu didiami oleh berbagai suku bangsa dan agama.
Jangan kerana “kuasa” ada ditangan, maka hanya condong pada kaum sendiri, penyokong sendiri, apa tah lagi menutup peluang orang lain.
Belum hilang dalam ingatan setiap rakyat negeri ini, semasa era pemerintahan Warisan yang hanya berkiblat pada “suku” tertentu. Natijahnya, sebuah kerajaan yang mahu mendapat mandat daripada rakyat, ditolak, walaupun hanya memerintah 26 bulan.