JANGAN nafikan, impak parti Bersatu berpisah dengan Pakatan Harapan (PH). Impak perpisahan itu telah menyebabkan pakatan tersebut hilang 22 peratus undi, atas sebab itu hanya dapat mempertahan 5 kerusi yang dimenangi pada PRU-14 daripada 15.
Apa yang malang lagi, impak kumpulan Azmin Ali keluar daripada PKR, telah menyebabkan parti itu bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi, malah gagal menang sebarang kerusi.
Jika diteliti nisbah undi yang diperolehi masing-masing parti, sebenarnya tidak jauh berbeza dengan pilihan raya yang lalu, hanya bezanya, ada parti-parti yang berhadapan pecah undi.
Barisan Nasional kukuh atau kekal dengan penyokong sendiri, sebab itu mencapai kemenangan, walaupun undi popular hanya 40 peratus.
Sebelum PRN Melaka, malah jauh sebelum itu, ramai penganalisis politik, atau sesetengah pemimpin, beranggapan, jika berlaku pertembungan antara BN, PH dan PN, maka akan memberi kelebihan pada Pakatan Harapan. Namun, apa yang berlaku pada PRN Melaka, pertembungan tersebut penyebab PH terpukul teruk.
Apa yang boleh dilihat pada PRN Melaka, ada lah sukar bagi mana-mana parti menarik sokongan penyokong parti lain, atau dengan kata lain “swing votes”.
Jika diteliti dengan rapi, pada PRN Melaka, BN mendapat 122,741 undi (39%), PH 114,457 (36%), Bersatu 33,161 (11%), jika dijumlah antara PH dan Bersatu 147,618 (47%), peratusan tersebut hampir serupa keputusan PRU-14.
Jika pihak yang menang sudi melihat apa yang tersirat menerusi keputusan PRN ke-15 Melaka, maka akan sujud syukur, kerana pihak yang membakar diri, demi mengembalikan sebuah kerajaan yang telah terwujud sejak merdeka.
Kadang kala, ramai di antara kita hanya berpandu pada yang tersurat, tetapi gagal menghalusi apa yang tersirat. Atau dengan kata lain, ada di antara kita gagal menterjemah hikmah pada tindakan yang kenampakkan khianat, tetapi di sebalik tindakan tersebut ada unsur yang perlu disyukuri.
Kehadiran Bersatu, menerusi Perikatan Nasional (PN) perlu disyukuri, kerana boleh mengurangkan kekuatan Pakatan Harapan. Selain itu, ianya juga menjadi pemudah cara penyatuan ummah, walaupun dibangkang oleh sesetengah pemimpin yang kurang menggunakan pemikiran diluar kotak. Fikir-Fikirkan.