NASIB baik Azis Jamman- MP Sepanggar daripada parti Warisan, bukan lagi Timbalan Menteri dan sebahagian kerajaan, maka terdedah, perangai Kerajaan Persekutuan semasa di bawa Pakatan Harapan (PH).
Memang menjadi lumrah, sesuatu yang tidak betul, akan terbongkar akhirnya, walaupun ianya seperti kata peribahasa, rumah siap pahat berbunyi.
Tetapi mengapa, ianya didedahkan sekarang? Semasa membahas Bajet Tahun 2022? Mengapa tidak membongkarnya semasa membahas Bajet tahun 2019, Bajet Tahun 2020? Sedangkan semua yang didedahkan berlaku, semasa MP Sepanggar itu sedang nikmat dengan jawatan Timbalan Menteri?
Pembongkaran wakil rakyat Sepanggar tersebut, jelas,bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan begitu kejam terhadap Sabah. Persoalannya, mengapa semua wakil rakyat yang sewaktu dengan Azis bersungguh-sungguh menyokong PH, sehingga ketitisan darah terakhir? (Nota: sokongan Azis pada PH kali terakhir pada Ogos, 2021 semasa pemilihan Perdana Menteri ke-9).
Mungkin MP Sepanggar itu terantuk baru terngada, sedangkan rakyat Sabah yang bukan penyokong Parti Warisan dan Pakatan Harapan, telah menyadari dan tahu, semasa Kerajaan Pakatan Harapan yang bermenteri Kewangan Lim Guan Eng, peruntukan untuk Sabah hanya dinyatakan di atas kertas, akan tetapi, sebenarnya, peruntukan tersebut telah ditarik awal-awal lagi dan di pindahkan ke negeri-negeri yang dikuasai parti DAP dan PKR.
Laporan Audit tidak berbohong, dan Azis memanfaatkannya sebagai bahan hujahan di parlimen, untuk menjadi hero pada rakyat Sabah?. Hakikatnya, Azis sudah ketinggalan kereta api, selain tindakannya seperti meludah ke langit terpercik di muka sendiri.
Penulis sebenarnya, menunggu, pengakuan sendiri daripada anggota kabinet Pakatan Harapan daripada Sabah, bagai mana pelakuan Kerajaan era Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkaitan peruntukan untuk Sabah diagihkan.
Hakikatnya, agihan peruntukan untuk Sabah, tidak lancar bukan sahaja semasa era Pakatan Harapan,akan tetapi berdekad lamanya, termasuk lah semasa Presiden Warisan masih menganggotai kabinet Persekutuan, khususnya semasa beliau menteri KKLW. Peruntukan untuk kemudahan asas bagi Sabah, habis digunakan, akan tetapi tidak berbekas di lapangan, ada lah lebih buruk berbanding, agihan peruntukan tidak dibelanjakan, seperti mana hujah MP Sepanggar tersebut di Parlimen.
Hujah Azis, ada baiknya, kerana mendedahkan siapa mereka pada mata rakyat Sabah.