Pemimpin Umno tidak percaya bahawa kekalahan pada PRU-14 itu nyata. Demikian juga kekalahan 18 calon daripada 32 pada PRN-16 Sabah tahun lepas itu nyata. Pendapat pemimpin parti itu kekal sama, tatkala kehilangan kuasa di Selangor pada tahun 2008, dan sebelum itu di Kelantan sejak tahun 1990, walaupun di Terengganu dan Kedah, saling berganti dengan Pas. Bagi pemimpin parti itu, senario yang berlaku, hanya produk demokrasi, dan tidak semestinya kekal.
Menghadapi PRN ke-15 Melaka, Umno mahu membuktikan keunggulan, apabila bergerak solo, dan bertanding 20 kerusi di semua kawasan majoriti kaum melayu.
Tahun 2019, ada sebahagian pemimpin parti itu merasa bahawa keunggulan parti itu tidak lagi menyerlah, atas sebab itu, perlu bantuan pihak lain. Kerana pemikiran tersebut, maka bermuafakat dengan Parti Pas, menerusi Muafakat Nasional (MN). Namun kemudiannya, muafakat itu semakin hari semakin pudar, ekoran gerakan sesetengah pemimpin parti itu kembali pada takok lama, merasa lebih unggul dan kuat.
Para pemimpin Pas, terutama Presiden parti itu merasakan, bahawa pola pendekatan pemimpin Umno tidak juga berubah, dan tidak menerima bahawa politik tanah air sudah berubah dan nyata, maka telah memilih bersama Bersatu mengasaskan penubuhan parti Perikatan Nasional, dan mendaftarnya sebagai sebuah parti pada Ogos, 2020.
Sangkaan pemimpin parti Pas ternyata benar, apabila Umno menutup pintu kerjasama pada PRN Melaka, dengan memberi alasan, tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.
Alasan Umno boleh bekerjasama dengan Pas, dengan syarat parti itu menggunakan logo sendiri, bukannya logo Perikatan Nasional. Namun, atas asas prinsip dan kejujuran, Pas bertegas menggunakan logo Perikatan Nasional.
Kerana ketegasan Pas tersebut, Umno bertindak mengumumkan bertanding di semua kawasan majoriti melayu, dan menutup ruang kerjasama dengan Pas.
Penamaan calon sudah pun selesai. Pertembungan antara Umno, Pas dan Bersatu berlaku.. Apa yang dibimbangkan di antara parti-parti itu akan menghadapi, kalah jadi abu, menang jadi arang.
Dalam senario politik yang sudah berubah, parti-parti yang hanya bersandar pada sokongan satu kaum, seperti Umno, Pas dan Bersatu, tidak akan dapat membuktikan keunggulan dalam medan demokrasi, kerana parti yang mempunyai penyokong rentas kaum akan mendapat kelebihan.
Dalam PRN ke-15 Melaka, daripada 20 kawasan majoriti melayu, sekurang-kurangnya 7 kawasan yang mempunyai lebih 20 peratus pengundi kaum lain, yang mana pengundi kaum lain ini, sekian lama sentiasa menyokong parti-parti dalam Pakatan Harapan, khususnya DAP. Kerana bulatnya sokongan tersebut, maka mana-mana parti sepasukan dengan parti itu, maka mendapat kelebihan, seperti mana berlaku pada PRU-14.
Ada lah mustahil dalam senario politik tanah air pada masa sekarang, Umno dapat mengembalikan keunggulan, seperti mana sebelum PRU-14. Mungkin, menerusi keputusan Umno yang bergerak solo, dan memaksa Bersatu dan Pas bertindak sama, hanya membuktikan, bagai mana kaum melayu hilang kuasa.
Benar lah apa kata mantan Menteri Besar Selangor- Tan Sri Muhammad Taib, pertembungan antara Umno, Bersatu dan Pas pada PRN Melaka, hanya mahu membuktikan ketidak cerdikkan pemimpin melayu.
Bagi pemimpin Pas atau Bersatu, apa pun rasa terkilan atau kecewa, berkaitan keputusan Umno, semua nya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang pasti, jika keputusan PRN Melaka mengembalikan PH, maka, jangan disesali, kerana ianya satu pilihan.
Pun demikian, dalam politik penuh dengan serba kemungkinan. Siapa tahu, pengundi Melaka telah membaca senario ini, dan kemudiannya mencipta pembaharuan, akan memilih parti-parti yang mempunyai pemimpin yang sederhana, yang mengutamakan perpaduan ummah!!!!. Sama-sama kita nantikan keputusan 495 ribu pengundi berdaftar negeri Melaka pada 20 November.