APABILA membaca data pesakit yang dijangkiti, di atas 95 peratus belum menrima vaksin daripada semua kategori. Makna kata, lain ceritanya, jika penduduk telah divaksin.
Pengalaman WP Labuan, yang mencapai imuniti berkelompok hari ini, jelas membuktikan, bahawa vaksin bukan sahaja menurunkan mereka yang dimasukkan ke hospital, juga berkurangnya mereka yang dijangkiti dengan drastik sekali.
Berbeza dengan Sabah, yang mana peratus penduduk yang menerima vaksin masih rendah, maka pelaksanan PKPD berulang di sesebuah lokaliti kerap berlaku, malah dalam sengkang masa yang singkat.
Di Sabah juga berlaku, mereka yang mendapat temujanji menerima vaksin, apabila berada dalam lokaliti PKPD, tidak dibenarkan ke PPV yang ditentukan, walaupun, keadaan serupa dibenarkan di Semenanjung.
Alasan yang diberikan oleh petugas Sekatan Jalan Raya (SJR), ianya merupakan arahan KKM, walaupun Menteri yang bertanggungjawab berkaitan Covid-19 negeri, membuat catitan, bahawa mereka yang mempunyai temujanji, hanya perlu menunjukkan jadual dalam MySejahtera sebagai bukti temujanji.
Memang, jika jadual temujanji tidak dapat dipenuhi, maka CITF akan menjadualkan semula dalam tempoh 30 hari. Tetapi, tiada jaminan temujanji berikutnya juga dapat dipenuhi, apabila sekali lagi dilaksanakan PKPD di lokaliti yang sama.
Malang tidak berbau, tidak sedikit yang dijangkiti virus corona, sebelum mendapat suntikan, sedangkan peluang mendapat suntikan, terhalang kerana PKPD.
Pengalaman penulis, seorang saudara dekat, yang tidak mempunyai sebarang penyakit bawaan, hanya kerana obesiti, tidak dapat di selamatkan hanya dalam tempoh seminggu selepas dijangkiti virus pembunuh-covid-19. Memang kematian adalah pasti, kerana itu janji Tuhan, siapa yang merasa hidup, pasti merasai mati. Akan tetapi, punca kematian yang boleh dicegah, tidak diperolehi, kerana terlambat menerima vaksin yang boleh menjadi kubu terakhir.
Bagi pendapat penulis, apapun keadaannya termasuk berada di lokaliti PKPD, jika seseorang yang mendapat peluang menerima vaksin, dan dalam keadaan sihat, tiada sebarang gejala, bukan kontak rapat, dan tentunya tidak dikurantin, tidak perlu dihalang melalui peraturan, yang tidak menyumbang kepada program melawan COVID-19.
Pihak kerajaan menerusi KKM, perlu memberi arahan jelas kepada para petugas di SJR, kerana petugas ini lah yang menghadang, sebaik sahaja penduduk di lokaliti PKPD keluar di gerbang pintu. Fikir-Fikirkan.