JIKA Umno berpecah, bukan kerana parti lain, akan tetapi "pertembungan" antara pemimpin parti tersebut.
Seharusnya Umno mengambil pendekatan, patah tumbuh hilang berganti, apabila ada pemimpin yang meninggalkan parti. Parti perlu menilai sendiri, mengapa ada pemimpin sanggup keluar daripada parti.
Menyalahkan pihak lain, kononnya Umno berpecah, menjadi lemah, bukan lah pendekatan yang tepat dan betul, kerana boleh menggambarkan, bahawa parti TIADA ASAS kukuh sebagai sebuah parti yang menganggap sebagai parti terbesar kaum melayu.
Umno kena menilai kecenderungan rakyat terkini. Jika memang benar, bahawa rakyat berkecenderungan, bahawa Umno tidak perlukan parti lain, maka teruskan lah, jangan pula berlaku, pemimpin mengambil pendekatan lain, yang bercanggah dengan ketetapan ahli.
Akui hakikat, tiada mana-mana pihak yang boleh meramal, akan diberi mandat oleh pengundi pada PRU-15 akan datang. Trend pengundi jauh berbeza, sudah berubah dengan nyata.
Trend sekarang, tiada lagi jaminan, bahawa ahli sesebuah parti, membabi buta mengundi parti yang disertai. Hakikat demikian, perlu diperhalusi, bukan sahaja oleh Umno akan tetapi parti-parti lain.
Dalam soal Umno, melihat percakaran antara pemimpin, bagai mana pula, boleh mendorong ahli atau penyokong bersatu, kerana keadaan ibarat ibu ketam mengajar anak berjalan betul, sedangkan diri sendiri berjalan senget.
Berhadapan PRU-15, sebahagian besar pengundi sudah mengambil keputusan bentuk kerajaan atau pemimpin mana yang perlu disokong. Ertinya, parti-parti atau pemimpin perlu menyesuaikan diri dengan kehendak rakyat, bukannya sebaliknya. Fikir-Fikirkan.