TIDAK pernah berlaku dalam negara, jumlah sebanyak RM642.5 bilion (RM305bilion campur RM322.5 bilion campur RM15 bilion) semata-mata untuk merangsang ekonomi negara dalam tempoh 22 bulan (Mac-2020 hingga 31 Disember-2021).
Negeri Sabah patut mendapat sebanyak mungkin daripada jumlah peruntukkan Persekutuan ini, memandangkan negeri ini mempunyai rakyat termiskin di negara ini, iaitu 19.5% setakat tahun 2019.
Jika dinisbahkan peratusan kadar kemiskinan Sabah kepada jumlah penduduk yang berjumlah 3.2juta, maka jumlah penduduk miskin adalah 624,000.
Mereka ini tersebar di seluruh negeri, bukan hanya di Pitas, Kota Marudu atau Tongod, juga di pinggir bandar dan bandar.
Sabah perlu menggariskan halatuju pembasmian kemiskinan berasaskan daerah yang dikenal pasti, seperti mana program MESEJ yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional, kerana menerusi program tersebut, boleh mempercepat tindakan pembasmian kemiskinan, kerana kerajaan mahupun swasta terlibat secara langsung.
Jika ada yang bertanya, mengapa kadar kemiskinan naik mendadak, sedangkan sebelum ini kadar tersebut berjaya diturunkan daripada 19.7% tahun 2009 ke angka 2.9% tahun 2016. Jawapannya adalah, kadar Pendapatan Garis Kemiskinan telah diubah daripada RM980 (setakat tahun 2005) ke RM2,208 pada tahun 2019.
Sehingga tahun 2018, Isi Rumah yang mempunyai pendapatan kurang atau sama dengan RM980 tergolong miskin, manakala mulai tahun 2019, mereka yang mempunyai pendapatan kurang atau sama dengan RM2,208 tergolong miskin.
Apa yang diharapkan menerusi halatuju Sabah Maju Jaya sepertimana slogan Kerajaan Sabah, apabila kadar kemiskinan Sabah dapat diturunkan.
Kerajaan perlu sentiasa mengutamakan tindakan atau program pembasmian kemiskinan atas sebab kadar kemiskinan akan bergerak mengikut masa, jika tidak disertai dengan program jitu.